Saturday 15 March 2014

Cerpen Preview: Jangan Pernah Lukai Aku Lagi!

                                                                      Assalammualaikum...

Novel Lihat Aku Di Matamu, akan dihentikan dulu penulisannya buat sementara waktu sebab sekarang ni tengah training...don't worry, akan disambung juga...cuma bukan dalam masa terdekat ni la...Hari ni, nak kongsi cerpen yang dah dibuat...tengah plan nak hantar ke tak dekat Penulisan2U..hmmm...pikir dulu, pikir dulu.. hikhik~ Silalah tengok preview ini ya..kalau dapat bagi komen, bagus juga bah! ^_^V


                                              

Tajuk Cerpen: Jangan Pernah Lukai Aku Lagi!
Karya: Mirei May

“Aku terima nikah, Najla Arissa binti Badlisham dengan mas kahwinnya satu dinar tunai!” 

 “Sah?” Tanya Tok Kadi, Tuan Haji Firdaus kepada saksi-saksinya. 2 orang saksi yang duduk berhampiran dengan pengantin lelaki menganggukkan kepala masing-masing.

“Sah.” Jawab saksi yang pertama.

 “Sah.” Kata saksi yang kedua pula.

“Alhamdulillah...”



Bacaan doa mengiringi upacara akad nikah yang telah selamat berlangsung sebentar tadi. Pengantin lelaki, Elman Putra Dato’ Seri Tajul Ariffin terketar-ketar sewaktu mengaminkan bacaan doa Tuan Imam, Ustaz Ramzan.  Mukanya kelihatan tegang.

Sambil mengaminkan bacaan doa, matanya melirik tajam ke arah isteri yang baru dinikahinya. Hati Elman berasa panas. Kalau tidak memikirkan dia kini sedang berada di hadapan Ustaz Ramzan dan Tuan Haji Firdaus, mahu saja dia menerpa ke arah Najla. Ingin dicekik-cekik leher gadis itu sepuas-puasnya. Gadis ke? Elman mencebik. Sinis. Perut Najla yang masih kempis itu dipandang lama. 

“Anak Elman. Tahniah ya, dah jadi suami Najla. Saya doakan agar rumahtangga yang dibina ini akan berkekalan sampai ke syurga. Jaga amanah yang telah Allah berikan kepada anak Elman ini dengan baik. Kalau isteri ada buat salah, tegur dengan baik. Jangan gunakan kekerasan. Muafakatlah suami isteri. Andai ada yang tak betul, bincang baik-baik.”

Nasihat Ustaz Ramzan sebelum pulang tadi kembali terlayar di kotak fikiran Elman Putra.  Elman ramas kepala yang terasa berat. Dia masih berteleku di dalam bilik Najla. Isterinya itu, sejak usai majlis akad nikah, tidak langsung menampakkan batang hidungnya. Entah menyorok di mana, Elman malas nak ambil tahu. Yang nyatanya sekarang ni, dia rasa terjerat dengan perkahwinan yang diatur oleh papa Najla dengan daddynya.

Ingatan Elman melayang kepada peristiwa sebulan yang lalu.

“Anak kau dah buntingkan anak aku!” 

Jerit Tan Sri Badlisham kepada Dato’ Seri Tajul Ariffin dan Elman. Gegak-gempita ruang tamu di rumah Elman dengan suara amarah Tan Sri Badlisham. Elman kecut perut. Tidak disangka, perbuatan jahatnya kepada Najla pada malam pesta hari jadi sahabat baik Najla, Aulia, mencambahkan benih di dalam rahim Najla. 

Elman rasakan dunianya kelam waktu itu. Kemarahan Tan Sri Badlisham berada di kemuncak. Tak pasal-pasal kepala Elman dibaling telefon bimbit lelaki korporat tersebut. Benjol kepalanya dek tak sempat menahan Samsung Galaxy Note 2 itu dari singgah ke kepala. Elman terduduk sambil pegang kepala. Dato’ Seri Tajul Ariffin nyata terkejut melihat benjol di kepala anaknya. 

“Sabar dulu, Bad. Kita boleh bincang perkara ni baik-baik.”

“Nak bincang apa lagi? Anak aku dah mengandung! Kau lainlah, anak kau jantan. Anak aku ni perempuan. Dahlah dia satu-satunya anak yang aku ada. Sebab anak kau yang tak guna ni, masa depan anak aku hancur. Hancur!” Berombak dada Tan Sri Badlisham melepaskan kemarahan.

Elman duduk menikus di atas sofa. Diam tak berkutik. Sedar dirinya telah melakukan kesalahan besar. Merosakkan anak gadis orang tapi dia bukan saja-saja mahu menghancurkan masa depan Najla. Silap dia kerana tidak mampu mengawal diri. Niat dia pada mulanya hanya mahu bersemuka dengan Najla. 

Dari mulut Aulia, dia dapat tahu orang yang selama ini memukul canang keburukannya kepada bekas kawan-kawan sekuliah mereka semasa belajar di Tokyo dulu adalah Najla sendiri. Patutlah kawan-kawannya, Joe, Kirya dan Fizo mula menjauhkan diri sekembalinya mereka ke Malaysia. Semuanya sebab Najla! Kerana inginkan kepastian, dia tekad mencari Najla. Manalah dia tahu waktu itu Najla sedang menukar pakaian di dalam bilik tetamu Aulia. Kalau dia tahu, dia takkan terjah masuk bilik itu. Dia akan tunggu di luar sampai Najla siap berpakaian.

“Aku tahu, Najla anak yang baik. Dari dulu lagi, dia memang anak yang baik. Dia takkan buat perkara-perkara terkutuk tu. She adore you so much, Bad. Sedaya-upaya dia akan jaga air muka kau sebab dia tak mahu maruah kau tercalar. Kau orang business, aku pun orang business. Kalau kita tak tangani perkara ini dengan cepat, reputasi kita akan tercemar. Dalam hal ni, aku yakin, yang silap tu anak aku. Kau jangan risau. Kami akan bertanggungjawab.” Perlahan suara Dato’Seri Tajul Ariffin menuturkan kata-kata.

“Apa cadangan kau?” Tanya Tan Sri Badlisham perlahan. 

Mungkin sudah termakan pujuk dengan kata-kata lembut Dato’ Seri Tajul Ariffin tadi. Ketenangan sahabat baiknya itu menjadikan dia malu. Kalau Dato’ Seri Tajul Ariffin boleh bercakap lembut dengannya, kenapa dia perlu meninggi suara? 

Dan perancangan kedua-dua lelaki korporat itulah yang telah menjadikan dia suami kepada Najla Arissa sekarang ini. Hati Elman memberontak. Dia tidak mendambakan perkahwinan ini! Dia terseksa, batinnya merana. Kenapa daddy sanggup memaksa dia bernikah dengan perempuan yang telah memporak-perandakan hidupnya suatu masa dahulu hingga membuatkan dia hampir-hampir gagal peperiksaan akhir? 

Ketukan perlahan di pintu sebelum daun pintu yang terselak tiba-tiba merencatkan lamunan Elman. Pandangan segera dialih ke pintu. Terpacul wajah mendung Najla yang lunak memandang ke arahnya. Bau minyak angin menusuk kuat ke hidung Elman. Elman pantas berdiri. Tangan isterinya ditarik kuat sebelum menutup daun pintu. Nafas Najla turun naik. Jelas ketakutan di sinar matanya kala itu. 

“Suka...aku dah kahwin dengan kau?” Sinis soalan Elman. Dia melangkah perlahan-lahan, merapati Najla yang sudah tergigil ketakutan di tepi katil. 

“Cakaplah!! Suka ke aku dah jadi suami kau?” 

Elman tidak segan silu nak menjerit di rumah keluarga mertuanya ini kerana dia tahu bilik Najla ini kedap bunyi. Orang luar takkan boleh mendengar perbualan mereka. So Tan Sri Badlisham’s style. Nakkan privasi sampai semua bilik dibuat kedap bunyi!

Najla memandang sayu ke arah suaminya. Dendam sang suami kepadanya terlalu menggunung. Tapi...tegarkah dia menanggung kesengsaraan ini kalau dia sendiri tidak tahu apa punca dirinya diperlakukan sebegitu oleh Elman Putra? Najla mahukan kepastian daripada Elman. Perlahan-lahan anak matanya diangkat dan merenung kemas ke dalam anak mata coklat gelap milik suaminya.

“Najla minta maaf....Najla tak tahu apa salah Najla pada abang.”

Elman berdecit. Rasa geli hati mendengar ayat yang keluar dari mulut Najla. Tubuh kecil-molek isterinya ditolak kasar ke atas katil. Terjerit Najla melihat tingkah lakunya yang sudah bertukar ganas. Belakang bahu isterinya ditekan kasar ke tilam. Meraung Najla tatkala tangan kasar suaminya menekan belakang bahunya. Sedaya-upaya dia cuba memboloskan diri namun tidak berhasil.

“Bang, jangan tekan belakang Najla bang. Najla sakit....tolonglah bang. Najla sakit!” Rintihnya dalam tangis. 

“Hei, kau jangan nak pura-pura sakit ek. Aku tekan belakang kau, bukannya perut kau. Pandang aku...pandang aku!!” 

Tubuh Najla dialihkan supaya mengadapnya. Tangan sudah melekap kemas mencengkam bahu isterinya. Terperanjat Elman melihat muka putih bersih Najla sudah basah dengan air mata dengan bibir yang sudah terketar-ketar. Nampak dia dalam kesakitan yang teramat. Pelik Elman melihatnya.

“Najla sakit bang....” Rintih Najla lagi, perlahan. 

Elman semakin pelik. Seketika, pandangan Elman tertancap pada kesan lebam di bahu Najla. Teruk sekali kesan lebam itu. Elman mula rasa tak sedap hati. Pegangan tangan di bahu isterinya diungkai sebelum tangan Elman menyelak T-Shirt labuh yang dipakai Najla.

Najla pejam mata. Bahunya tersenggut-senggut menahan tangis. Dia tak mahu Elman nampak lebam di belakang badannya ini. Kalau boleh dia mahu sorokkan kesakitan yang dia alami ini tanpa pengetahuan suaminya. Biarlah dia yang menanggung derita ini seorang diri. 

Elman seakan tidak puas melihat lebam di bahu isterinya. Dia tahu kesan lebam itu panjang. Lalu dia menapak sebelum duduk di belakang Najla. Dengan rasa ingin tahu, T-Shirt yang dipakai isterinya disingkap hingga ke atas. Buat apa nak rasa malu? Najla isterinya. Dan dia berhak sepenuhnya ke atas Najla kini.

Sebaik sahaja belakang tubuh isterinya terdedah, Elman terus pekup mulut. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Belakang badan Najla penuh dengan kesan tali pinggang. Merah-merah. Ada yang membengkak tidak kurang juga ada antara kesan itu sudah bertukar kehitaman. 

Tan Sri Badlisham? Automatik wajah bapa mertuanya singgah di fikiran Elman. Dia tidak menyangka lelaki itu sanggup melibas Najla dengan tali pinggang. Teruk lebam yang dialami Najla. Kalaulah dia di tempat isterinya, pasti dia tak tertanggung kesakitan itu. Tergamak seorang ayah yang berpengaruh dalam masyarakat memukul anaknya sebegini rupa. Ini dah dianggap kes dera!

“Maafkan Najla bang.....maafkan Najla....maafkan Najla....”

Entah berapa kali isterinya itu meminta maaf. Dia yakin, ayat itulah yang diucap Najla juga sewaktu dilibas Tan Sri Badlisham. Elman pejam mata. Tangannya kembali menurunkan T-Shirt Najla, menutupi belakang badan isterinya itu. Patutlah Najla ada bau minyak angin. Dia sangkakan kerana alahan kehamilan. Rupa-rupanya sebab...

Elman bingkas bangun dari katil. Tegak saja dia memandang Najla yang sudah berhenti menangis. Padam terus amarahnya pada Najla diganti rasa simpati yang menggunung. 

“Tidurlah...esok kita balik rumah daddy.” 

Usai berkata-kata, Elman terus mengambil bantal dan comforter lalu dibawa menuju ke sofa yang terletak di hujung katil Najla. Dia segera berbaring membelakangkan Najla. Dadanya bergetar hebat. Takut, sakit hati, benci, simpati semuanya bercampur-aduk. Dia tidak pasti dengan perasaannya kini.

“Abang...” 

Panggilan lembut Najla terasa dekat di cuping telinganya. Elman pantas berpaling. 

“Nak salam....” 

Elman angkat kening sebelah. Pelik dengan permintaan si isteri namun tangannya tetap juga dihulurkan kepada Najla. Najla mencium tangan suaminya penuh kasih. Satu senyuman dihadiahkan kepada Elman sebaik sahaja mata mereka bertaut. Keprihatinan Elman menyuntik semangat baru di dalam sanubarinya. 

Dia yakin Elman akan menjaga dia dengan baik selepas ini walaupun lelaki itulah yang bertanggungjawab membuatkan hidup dia merana hingga ke saat ini. Demi anak yang dikandungnya ini, dia akan cuba juga mencari kebahagiaan dalam perkahwinan yang bukan atas kerelaan suaminya itu. 

“Abang tak mahu tidur atas tilam?” Tanyanya lembut.

Kasihan melihat Elman tidur di atas sofa. Isteri yang baik tidak akan membiarkan suaminya tidur di atas tempat yang tidak selesa. Tapi mampukah Najla menjadi isteri yang baik kalau sebelum berkahwin lagi dia sudah mengandung? 

You need the space, not me. Lagipun...belakang kau tu sakit. Mesti kau nak tidur dalam keadaan selesa, betul tak?”

Najla pandang tilamnya yang bersaiz king itu. Muat saja kalau Elman nak tidur sama tapi dia tahu suaminya itu tidak bersedia untuk duduk rapat-rapat dengannya. Tak mengapalah. Najla akan terus bersabar. Semoga satu hari nanti, hati Elman akan terbuka untuk menerimanya sebagai isteri. 

Najla tunduk. Dahi suaminya dikucup penuh kasih. Terkejut Elman dengan aksi spontannya tadi. Dia pun terkejut sebenarnya. Sebab terharu dengan ayat Elman, terus dia lupa yang suaminya ini masih membenci dirinya. Penerimaan Elman ke atas dirinya tadi hanyalah kerana simpati semata-mata setelah melihat kesan lebam di belakang badannya, bukan kerana kasihkan dia. 

Najla tahu tu. Kalau tidak, masakan muka Elman bengis macam singa sewaktu dia masuk ke dalam bilik tadi. Dia tahu, Elman masih belum dapat menerima dirinya. Lembut Elman bersebab. Lepas ini, entah apalah nasib rumahtangga mereka. Najla ketap bibir. 

“Selamat malam bang.” Ucap Najla akhirnya.

Tanpa bertangguh, Elman terus berpusing membelakangkan Najla. Comforter ditarik separas pinggang. Dalam kepayahan dia cuba juga melelapkan mata.....


p/s: Cerpen ini telah diubahsuai dan dimuatkan di dalam novel Encik Abang Kuda...jika berminat untuk mengetahui kesudahannya, klik link di tajuk novel untuk urusan pembelian...let's support this writer, guys! Thank you ^^,