Friday 25 May 2018

2018 : Jatuh Cinta Sekali Lagi {Tajuk sebelumnya Lihat Aku Di Matamu (Prolog)}





PROLOG
“Doktor kata apa tadi?”

Suara si dia mewarnai corong telefon bimbitku. Seperti biasa layanannya tiada yang kurang. Sentiasa dipenuhi pengertian membuatkan tubuh yang pada mulanya lemah, mula beransur sihat. Pelik betul rasanya pabila hati dihujani dengan perasaan cinta. Selemah mana pun aku pada saat itu, saat terdengar saja suaranya memberi salam, hilang terus duka nestapa yang membelenggu. Aku serta-merta menjadi sihat.

Cinta itu Anugerah dari Allah.


Ia berupaya membuatkan hati yang layu kembali mekar.

Cinta itu menghidupkan, bukan mematikan.

Betul! Aku sedang merasainya kini. Semuanya kerana lelaki itu.

Hello...hello. Senyap je? Love, where are you?”

Aku tergelak lucu. Mula dah dia bergurau. Terlambat sikit menjawab pertanyaannya, mulalah dia tak senang duduk. Ayat ‘Where Are You?’ tu dah jadi lagu latar. Habis irama Dondang Sayang pun terkeluar dari bibirnya. Mentang-mentanglah orang Melaka! Aku meneruskan langkah yang semakin goyah menuju ke arah kafeteria hospital. Niat mahu berehat sebentar sambil menikmati secawan Milo panas sebelum meneruskan pendakian menuju ke tempat letak kereta Hospital Pantai Ayer Keroh. Lutut tengah ketar. Tak berani nak paksa diri memanjat bukit tinggi.

Nothing serious, awak. Demam biasa je. Tak payah risaulah. I’m okay.” Balasku ringkas, tak mahu dia berlebih-lebih risau. Namun, tetap juga bersin dan batuk menjadi teman rapatku.

“Biasa apa macam ni? Teruk je saya dengar. Tak apa. Saya dah on the way balik office. Nanti saya singgah ambil awak dekat hospital ye.”

Dia meminta izin. Aku segera menggeleng-geleng. Macamlah dia nampak aku menolak permintaannya. Lantas aku membetulkan semula letak suaraku. Kasi garau sedikit sebagai tanda aku kini dalam proses penyembuhan. Aku tak mahu dia datang mengambilku di hospital. Muka aku sedang pucat lesi sekarang. Seganlah kalau dia nampak.

“Tak payah susah-susahlah, awak. Saya okay. Betul. Suara je sengau sikit sebab saya ada selsema jugak. Awak kena masuk office cepat-cepat. Mana tahu, Dato’ Imran perlukan awak? Awak kan pekerja kesayangan Dato’.”

Gurauku dengan niat mahu membuat dia ketawa dan melupakan saja keinginan dia menjemputku di hospital. Alhamdulillah. Umpanku menjadi. Pantas saja dia bersetuju dan berjanji akan menelefonku lagi selepas tamat waktu bekerja. Aku tersenyum riang. Sesudah menjawab salam si dia, aku meneruskan langkah menuju ke kafeteria.

“Assalammualaikum...” Tegurku pada seorang wanita yang sedang duduk menyuap mee goreng berhampiran kaunter pembayaran.

Disebabkan ruang kafeteria padat dengan pelanggan, aku terpaksa menebalkan muka dan meminta izin daripada wanita itu untuk duduk di salah sebuah kerusi pada mejanya yang masih kosong. Terkebil-kebil wanita yang pada pengamatanku berusia awal 50-an ini memandangku. Aku yakin dia terkejut melihat penampilanku sekarang. Yalah. Siapa tak terkejut ditegur oleh orang yang lengkap berpakaian seperti Eskimo walhal terang-terangan dirinya rakyat Malaysia sejati? Ditambah-tambah pula keadaan mukaku sangat pucat ketika ini. Wajarlah wanita elegan ini terperanjat.

“Waalaikumussalam. Ya? Ada apa?” Tuturnya lembut. Hilang terus kerisauan yang beraja di dalam hati. Aku melemparkan senyumanku kepada wanita ini. Dia turut membalasnya seikhlas hati. Terpegun aku sejenak tatkala menilik bibir nipis yang mekar dengan senyuman itu. Cantiknya!

“Maaf, mak cik. Saya nak tumpang duduk makan sekejap. Meja lain dah penuh. Kalau mak cik tak kesah, boleh saya duduk dekat sini?” Pintaku penuh tertib.

Dia mengangguk lalu mempersilakan aku duduk di hadapannya. Syukur. Lega! Sambil mengucapkan terima kasih, aku segera melabuhkan punggung. Perut yang berkeroncong hebat bagaikan tak sabar minta diisikan makanan. Usai membaca doa, tanpa bertangguh, aku terus menyuap nasi goreng ke dalam mulut.

“Anak ni demam ke?”

Ketika aku sedang sibuk memotong sosej dengan sudu, aku terdengar wanita itu menyapaku. Serta-merta pandangan kuhalakan padanya.

Err...ya. Saya demam sikit, mak cik.” Ujarku dalam segan.

Tak berani nak melanjutkan perbualan dengan orang yang baru aku kenali. Jadi, aku sekadar menjawab pertanyaannya seringkas yang boleh. Sementelah, wanita ini pun kulihat sudah habis menjamu selera. Aku tebak dia pasti akan berlalu pergi sekejap lagi.

Air mata yang tiba-tiba mengalir turun kukesat dengan belakang tangan. Tumpuan kembali kuberikan pada makananku. Tidak langsung aku hapikkan keadaan sekeliling sehinggalah aku rasa ada tangan lembut dan sejuk melekap ke dahiku, sebelum ia merayap pula ke kedua-dua belah pipi lalu berakhir di dahiku semula. Masa kurasakan berhenti berputar. Statik saja tubuhku tatkala menatap wajah wanita itu yang begitu sarat dengan kerisauan.

“Panas sangat badan ni. Tengok. Mata tu pun dah berair. Berapa suhunya masa check tadi?”

Err....Tak tinggi sangat, mak cik. 39 je.”

Dek terpukau melihat sikap mengambil berat si empunya diri, bibir tanpa sedar mengeluarkan ayat tak munasabah. 39 darjah tak tinggi? Nak bawa tubuh ni pun aku rasa melayang-layang. Isk!

“Astaghfirullah hal adzim! 39 darjah tu tak tinggi anak kata? Nak, mak cik kalau lebih 38 darjah pun dah tak larat nak bangun, inikan pulak 39. Datang seorang je ke? Suami tak datang teman?”

 Makin rancak pula perbualan kami. Aku senyum seraya menggelengkan kepala. Berubah air muka wanita ini.

“Telefonlah dia. Suruh dia datang ambil. Bahaya biarkan isteri memandu seorang diri.”

“Bukan, mak cik. Saya geleng tadi sebab saya nak kata saya belum kahwin lagi. Tapi sebab mulut saya penuh, saya tak boleh nak cakap. Dapat bagi bahasa isyarat je.” Terangku sambil terseringai kecil.

Tertawa wanita itu mendengar gurauanku. Tawa yang ikhlas, bukan dibuat-buat. Melihat dia ketawa, aku makin bersemangat melorek senyuman.

“Mak cik datang sini jumpa orang ke?” Giliran aku pula menghambur pertanyaan.

Yalah. Dari tadi ayat itu berlegar-legar di dalam fikiran, namun aku takut mahu meluahkan. Takut dia tak senang jika aku sibuk mencungkil rahsia. Lagipun, aku tak nampak dia seperti menanggung kesakitan. Jadi aku tebak, dia mesti melawat seseorang di hospital ini.

Wanita yang masih tak kuketahui namanya itu mengangguk lemah. Wajah yang mulanya ceria dengan senyuman mula bertukar mendung.

‘Aigoo, mulut. Kenapalah aku ramah sangat tanya soalan cepumas? Buatnya mak cik ni datang melawat saudaranya yang tengah koma, tak ke naya?’

“Mak cik jumpa doktor anak mak cik.”

Anak? Lagilah aku berkipas.

“Err...anak mak cik sakit apa?”

Dysthymia.”

Apa tu? Terkebil-kebil mataku kerana tak memahami sakit anak wanita ini. Nak bertanya lebih lanjut, aku segan. Sudahnya aku mengangguk macam burung belatuk. Buat-buat fahamlah kerana aku tak mahu pertanyaanku seterusnya akan mengguriskan hati wanita ini. Melihat wajahnya yang suram dan sedih saja, hatiku rasa dicarik-carik. Pasti dia dah puas menanggung derita menyaksikan kesengsaraan anaknya menghidap penyakit itu. Aku tak mahu menambahkan dukanya lagi.

“Anak ada orang yang paling anak sayang?” Soal wanita itu setelah lama kami berdiam diri.

Aku mengangguk. Tergambar di tubir mata wajah kacak kekasihku yang amat aku sayangi. Ya! Aku sayangkan dia. Dia lelaki pertama yang berjaya mengetuk pintu hatiku. Tak pernah aku sayangkan seorang lelaki bukan mahram sepertimana aku menyayangi si dia.

“Cintakan dia?” Tanya wanita itu lagi. Aku tersenyum malu. Kepala kekal membuat senaman ringan. Tak henti-henti ia mengangguk sedari tadi.

“Alhamdulillah. Tapi nak, mak cik nak ingatkan. Setinggi mana pun rasa cinta dan kasih pada pasangan kita, janganlah ia melebihi rasa kasih dan cinta kita kepada Allah. Hanya Dia yang selayaknya kita meletakkan harapan. Dia yang selayaknya kita cintai. Tanpa keizinan-Nya, tak mungkin kita merasai cinta sesama manusia, betul tak?”

Aku mendiamkan diri. Sedikit demi sedikit, nasihat wanita itu meresap masuk ke dalam hatiku.

“Silapnya anak mak cik, dia ingkar cakap mak cik dan pak cik. Dia tak tinggal walau sedikit pun perasaan cinta untuk diri sendiri. Semuanya diserahkan bulat-bulat pada perempuan tu. Dan bila perempuan tu tinggalkan anak mak cik... dia...”

“Mak cik....” Cantasku penuh kelembutan. Tangan wanita itu kugenggam erat, cuba menyalurkan kekuatan padanya. Pilu hatiku melihat dia berusaha gigih menahan air matanya daripada gugur. Kalau aku rasa demamku ini agak menyusahkanku, ada orang lebih teruk ditimpa ujian. Kenapalah aku jarang mensyukuri nikmat yang Allah berikan?

“Mak cik doakan, nasib anak tak sama dengan nasib anak mak cik. Ingat ya...jangan bagi seratus-peratus pada pasangan ketika bercinta. Asingkan 20 atau 30 peratus rasa cinta pada diri sendiri. Kelak bila dikhianati, anak masih punya semangat untuk meneruskan kehidupan.” Bisiknya dalam lirih.

Aku mahu meneruskan lagi perbualan dengannya namun bicaraku terbantut apabila kami didatangi oleh seorang lelaki muda lengkap berpakaian kot biru gelap. Lagaknya seperti seorang pemandu limosin. Dia segera menghampiri wanita di hadapanku ini lalu memberi tunduk hormat. Pada aku, dia sekadar melemparkan senyuman mesranya saja dan aku turut membalas seadanya.

“Kereta dah sedia, Puan Sri. Saya pun dah call Dato’ Imran. Dato’ kata Datin ada di rumah. Bolehlah kita pergi melawat.”

Puan Sri? Wanita baik hati ni berstatus Puan Sri? Aku teguk liur bertalu-talu. Terkejut.

“Terima kasih, Firuz.” Dia mengukir senyuman mesra pada pemandunya. Kemudian, wanita itu kembali tunduk menatapku. “Anak parking dekat mana? Mak cik boleh hantarkan ke kereta.”

Sempat lagi dia menawarkan pertolongan. Aku terseringai lantas menggeleng-geleng. Segan nak menerima bantuan daripada wanita ini setelah mengetahui siapa diri dia yang sebenarnya.

“Saya tak habis makan lagi, mak cik. Tak apa. Saya boleh jalan sendiri nanti.” Tolakku penuh sopan.

“Boleh ke? Badan anak panas sangat tu. Kaki pun macam tak larat nak berjalan. Marilah mak cik hantarkan.” Dia tetap berusaha memujukku.

“Insya-Allah, boleh. Saya jalan perlahan-lahan je nanti. Kalau tak larat, saya berhenti rehat. Lagipun bila berjalan, dapat jugak saya keluarkan peluh, mak cik.”

Mungkin termakan dengan alasan terakhirku, wanita itu tidak memaksa lagi. Dihulurkan tangannya untuk bersalaman dan aku pantas mengucupnya penuh hormat. Buat beberapa saat, tanganku masih utuh dalam genggamannya. Tidak mahu dilepas-lepaskan. Leka wanita itu menilik wajahku.

“Dari tadi kita berbual, mak cik tak tahu pun nama anak siapa. Nama mak cik, Intan Syafiqah. Panggil Mak Cik Intan je.”

Mak Cik Intan, bisikku di dalam hati. Tetap juga dia merendah diri.

“Saya Umairah Husna, mak cik. Semua orang panggil saya Maira.”

Ramah aku memperkenalkan diri. Puan Sri Intan Syafiqah mencuit daguku bersama senyuman tak lekang-lekang di bibir.

“Umairah Husna. Cantik nama tu. Secantik orangnya.”

Aku terpaku. Tak percaya kerana dia tanpa rasa jijik, tiba-tiba menarik aku ke dalam pelukannya. Erat kami berdakapan. Sukar pula aku nak menolak. Lantas, kedua-dua tanganku turut naik memeluk tubuh langsingnya.

“Tadi mak cik keseorangan. Mak cik perlukan teman untuk berbual. Habis saja mak cik berdoa, tiba-tiba Dia kirimkan Maira pada mak cik. Tak sangka, secepat kilat doa mak cik dimakbulkan. Jaga diri bebaik ya. Mak cik doakan Maira lekas sembuh. Ada jodoh, kita bertemu lagi. Insya-Allah.”

Cup!

Berbunyi pipiku apabila kucupan hangatnya singgah di kedua-dua belah pipi ini. Aku memerhati langkah Puan Sri Intan Syafiqah bersama pemandunya buat kali terakhir. Tangan yang disisipkan sekeping kad perniagaan sebelum dia berlalu pergi, aku tatap dengan hati berbaur. Dan siapa tahu, itulah titik permulaan takdir yang Allah tetapkan buat kami berdua...




{{ Hati yang menyerahkan bulat-bulat segala urusannya kepada Yang Maha Mengabulkan Permintaan, pasti tidak akan dikecewakan }}

Kita jumpa lagi di Bab 1 nanti ya. In Shaa Allah ^^,



Yours truly writer,

Mirei May ^^,

8 comments:

Fathi Fathiyah said...

Sis!!!!!!!! Citer ni..saya nakkkkkkk. Lama tau tunggu. Bila nak jadi buku?????

Unknown said...

Laaa.. cerita LADM tu kan? Sukaaaanya...lama tunggu!

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Mirei May said...

Fathi Fathiyah: Ye, dear. Cerita itu...hehehe...lama tunggu ya? Doalah jadi kenyataan. Sis perlukan doa semua yang menyayangi cerita ni. Doa kalian, kekuatan sis, In Shaa Allah ^^,

Mirei May said...

Kak Ma Ilyas : Ingat lagi ya kak Ma? Terima kasih ya sukakan kisah Maira... May pun sukaaaa sangat bila Kak Ma sukaaaa ^^, Alhamdulillah

Maya said...

Siss saya nk beli buku ni.. Mcm mana nk beli ni?? Sold out dah

Maya said...

Siss saya nk beli buku ni.. Mcm mana nk beli ni?? Sold out dah

Mirei May said...

Hai Maya ๐Ÿ˜Š๐Ÿ’• Kalau sis berminat nak dapatkan lagi JCSL, boleh emel saya : mireimay312@yahoo.com. Terima kasih