Monday 25 June 2018

2018 : Jatuh Cinta Sekali Lagi {Tajuk sebelumnya Lihat Aku Di Matamu (Bab 1)}




BAB 1

Mungkin belum pernah kau rasa
Hati yang berkecai sejuta
Jika ada lain ku rela kau pergi
Mungkin cuba untuk lebih setia

“Assalammualaikum...” Sapaku lembut sejurus saja berhasil menyelongkar beg sandang Carlo Rino dan mengeluarkan Oppo kesayangan. Lagu Mungkin dendangan Dia Band terhenti apabila aku meleretkan jari telunjuk ke warna hijau di atas skrin.


“Waalaikumussalam. Love, dah siap? Saya ada dekat depan rumah awak ni.”

Bersemangat suara lelaki itu menjawab. Aku tersengih lucu. Bibir yang masih pucat tanpa sebarang warna, aku oleskan dengan LipIce.

“Dah. Kejap ye, awak. Saya turun.”

Aku segera menutup pintu bilik. Laju langkah kuatur sewaktu menuruni anak tangga.

Be careful, love. Jangan berlari. Jalan je.”

Sempat telinga ini menangkap kata-kata lembut si dia. Tersentil hujung lidah aku ke depan. Dia nilah. Tahu je aku sedang berlari sekarang. Padahal, hanya hujung jari kaki saja kulekapkan ke dada tangga. Disebabkan aku dah terlewat menepati masa janji temu kami, nasihatnya itu kusisip kemas dalam kepala. Nanti-nantilah aku ikut cakap dia.

Sorry!!! Saya lambat. Lama dah awak tunggu?” Ucapku dalam mengah sebaik sahaja berhasil memboloskan diri di dalam Lancer Evo putih milik si dia. Terjongket keningnya ke atas. Tak berkelip-kelip si dia menatap wajahku. Sengih menawannya tercarik lebar lalu menimbulkan dua lesung pipit yang dalam di kedua-dua belah pipinya. Aku tersenyum manis. Suka betul aku melihat lesung pipit itu. Cantik...

Good morning Mrs Hafizi Dzariff to-be, Miss Umairah Husna.”

Kegemaran Hafizi Dzariff atau mesra kupanggil Fizi, setiap kali kami bertemu mata. Tak henti-henti dia menggelar diriku bakal ‘Mrs’ nya. Tak semena-mena bertepek pemerah pipi semula jadi di mukaku kerana malu digelar begitu.

Morning, Mr Hafizi Dzariff. Dah lama tunggu saya?”

“Hmmm...lama jugaklah tunggu. Sempat saya pekena kopi dulu dekat kedai mamak depan kawasan rumah awak ni.”

“Ye ke? Alamak! Sorry!!! Saya tak sengaja buat awak tertunggu-tunggu. Please, jangan marah saya.”

Kedua-dua tapak tangan kurapatkan ke bawah dagu. Aku benar-benar menyesali tindakanku melewatkan waktu pertemuan kami. Tak sangka pula penerimaan Fizi selepas itu jauh panggang dari api. Mati-mati aku ingat dia akan marah, sebaliknya tawa riang Fizi pula yang galak tercetus.

“Perkara kecil je, awak. Buat apalah saya nak marah? You know what, Maira? Bila awak buat perangai kelam-kabut awak tu kan, awak nampak comel sangat. Haih, kalau dah jadi bini ni, memang saya cubit-cubit pipi tu. Geram!”

Erk! Takut aku apabila Fizi menyatakan keinginannya. Lebih-lebih lagi aku nampak tangan kiri Fizi mula naik ke atas dan semakin menghampiri pipiku. Lagilah nak gugur jantung ini kurasa. Aku segera merapatkan belakang tubuh ke dinding pintu kereta Fizi. Beg sandang awal-awal lagi sudah menjadi benteng pertahanan. Andai kata tangan dia tetap juga nak menggatal, akan aku hempuk beg berat berisi pelbagai barangan peribadiku ini ke tangan sasanya itu. Ingat aku tak berani ke?

“Jangan sentuh saya, Fizi. Kita belum kahwin lagi tau. Saya jerit nanti. Terus kita tak jadi keluar. Hei!!!” Nyaring suaraku meledak. Terhenti tangan Fizi di udara. Serentak, bibir lelaki kecintaan aku ini mula mengukir senyuman hingga terserlah barisan giginya yang kemas tersusun.

‘Hish, dia ni. Aku dah separuh nyawa takut, dia boleh kulum-kulum senyum pulak. Toreh lesung pipit tu nanti, baru tau! Cett!’

“Perasannya! Siapa kata saya nak sentuh awak? Saya cintakan awak sangat-sangat, Maira. Saya takkan biarkan tangan saya ni mengotorkan kesucian awak. Saja je tadi saya pura-pura nak takutkan awak. Sebenarnya...”

Si kacak persis pelakon Aidit Noh itu menukar arah haluan tangan kirinya ke tempat duduk di belakangku lalu menarik keluar sebungkus beg plastik berwarna hitam. Berkerut keningku sewaktu berbalas pandang dengannya.

“Untuk saya ke?” Tanyaku pelik. Fizi kerlipkan matanya.

Err...hari ni bukan hari jadi saya. Kenapa awak bagi saya hadiah?”

“Nak bagi hadiah, tak perlu specific date pun. Bila awak dah setuju jadi kekasih saya, awak kena bersedia untuk terima macam-macam hadiah daripada saya. Love... ingat lagi tak hari tu awak demam panas dan saya outstation ke KL?” Ujarnya lembut.

Ingat. Apa pula tak ingatnya? Heboh Fizi nak menjemputku di hospital sedangkan masa tu dia baru saja melepasi susur keluar Simpang Ampat. Jauh lagi nak tiba ke Hospital Pantai Ayer Keroh. Sebab tu aku menolak permintaan Fizi dan menyuruh dia terus pulang ke pejabat saja.

“Sebagai tanda minta maaf sebab saya tiada di sisi awak semasa awak sakit dulu, saya nak bagi awak ni. Ambillah. Ikhlas daripada saya.”

Beg plastik hitam bercorak logo yang amat aku kenali dihulurkan ke arahku. Teragak-agak aku mahu mengambilnya. Fizi tetap melorek senyuman. Tak pula dia mendesak, bahkan begitu sabar dia menanti tanganku memegang bucu beg plastik. Barangkali dia dapat menebak aku seakan berat hati untuk menerima hadiah pemberiannya ini tak? Iyalah. Mahunya aku tak terkejut?


“Nike ni, awak. Mahal tu. Kenapa awak bazirkan duit beli kasut ni untuk saya?” Ucapku separuh lelah.

Menatap harga yang tertera di kotak Nike tu saja sudah mampu menghentikan denyutan jantung. RM 629? Kasut jogging yang aku beli online dulu pun tak sampai RM 70. Yang ni berganda-ganda mahalnya. Ya Allah...

“Tak salah kalau saya habiskan duit saya untuk orang yang saya cintai sepenuh hati. Love, saya betul-betul menyesal sebab tak berkeras nak ambil awak dekat hospital. Bila saya dengar cerita yang awak pengsan depan pintu pagar rumah keluarga awak, lagilah saya rasa bersalah sangat. Saya betul-betul minta maaf sebab mengabaikan awak.”

“Lah...Bukan salah awak pun saya pengsan. Salah saya sendiri sebab tak jaga kesihatan baik-baik. Baru lepas jumpa doktor, terus balik Tampin. Patutnya saya rehat dulu dekat rumah sewa saya. Ni tak. Gigih jugak nak balik kampung sebab saya fikir Ayer Keroh dengan Tampin, taklah jauh mana pun. Dekat je. Saya lupa kereta saya manual. Asyik tukar-tukar gear, saya overuse badan yang sememangnya dah lemah ni. Tak payahlah minta maaf, Fizi.”

Bersungguh-sungguh aku menolak huluran Fizi namun lelaki itu mengeraskan tubuh. Tak berkelip-kelip dia menatap mataku. Raut wajahnya yang serius dan kadang-kadang sedih itu membuatkan aku bungkam. Sudah! Janganlah dia berkecil hati. Aku tak mahu dia salah sangka denganku.

Dari mula berkasih sejak tiga bulan lalu sampailah ke hari ini, dah banyak kali Fizi membazirkan duitnya untukku. Aku tahu dia mampu. Gaji dia sebulan, berganda tingginya daripada gaji aku di Azrani Holdings, tempat kami menabur bakti. Namun itu tak bermaksud aku suka dia berhabis banyak keranaku. Aku tak mahu menerima terlalu banyak budi daripada Fizi.

Lagipun, bukan kegemaran aku memakai kasut mahal-mahal begini. Aduh, macam mana aku mahu terangkan pada Fizi? Aku tak nak nanti dia menganggap aku ni pisau cukur, suka mengikis duit dia seandainya hubungan kami kandas di tengah jalan. Na’uzubillahi min zaalik!

Okaylah. Saya terima. Lepas ni jangan beli apa-apa lagi tau.”

Akhirnya aku mengalah. Itu pun setelah sesak nafas ini melihat Fizi menjadi semakin diam dan riaknya semakin sedih.

Yes! Terima pun. Kalau cakap macam tu awal-awal tadi kan senang? Takdelah penat saya berlakon buat muka sedih.” Ujar Fizi sebelum tawanya meletus tiba-tiba.

Aku ternganga besar. What the heck? Dia tipu aku?

Fizi segera memberi isyarat ke kanan. Tak sampai beberapa saat, Lancer Evo miliknya meluncur laju meninggalkan kawasan perumahanku. Sepanjang masa suara garau Fizi menghiasi suasana. Tak henti-henti dia ketawakan aku. Malah, tanpa kusedari, aku turut berjangkit perangainya dengan membuat senaman mulut beberapa kali. Kejap terjuih, kejap tercebik. Ada kalanya terseringai satu macam apabila tawa Fizi mengalahkan jeritan Faizal Tahir di corong radio.

Hish! Tolonglah senyap, Encik Hafizi Dzariff oi! Lagu Hanyut ni. Aku nak dengar Faizal Tahir nyanyi, bukannya suara kau ketawa!’

Geram sebab tidak dapat menghayati lagu kegemaranku dengan aman, aku mengambil keputusan untuk menilik kasut pemberian Fizi. Senyuman terukir di bibir sebaik sahaja kasut berwarna kelabu itu berada di dalam genggaman. Cantiknya. Si kelabu yang menjadi igauanku beberapa minggu lalu kini sudah pun menjadi milikku. Tak sangka dia nampak aku pegang kasut ni dulu sewaktu kami singgah di kedai Nike, KLCC.

Aku makin seronok mengulit kasut tersebut. Kalau boleh, setiap inci kasut itu mahu aku terokai. Dari tapak, bawa ke badan sebelum jariku mengusik jahitannya yang kemas, semuanya aku lakukan dengan riang. Sampailah penerokaanku terhenti pada sesuatu yang membuatkan keterujaanku mula luntur.

“Awak...” Panggilku perlahan.

“Ya?”

“Kasut ni....” Makin perlahan suaraku. Fizi kerling aku sekilas.

“Kenapa dengan kasut tu?” Tanya Fizi tenang. Matanya kembali dihalakan ke arah jalan. Aku diam menikus. Sahlah dia masih tak sedar lagi.

“Awak tersalah beli saiz...”

Sreettt!!!

Terhambur aku ke depan apabila Fizi menghentikan kereta secara mendadak. Astaghfirullah hal adzim! Mujur tali pinggang keledar dah selamat melilit tubuhku. Tak dapat aku bayangkan seandainya aku lupa mengenakan alat keselamatan itu tadi. Pasti kepalaku dah terhantuk pada cermin depan. Bunyi hon bertalu-talu dari Hilux di belakang kami membuatkan jantung aku semakin ganas mengepam darah. Tergigil-gigil aku menoleh ke arah Fizi yang turut kaku memegang stereng.

Love, I’m so sorry! Saya tak sengaja tekan brek dalam-dalam tadi. Awak tak apa-apa?” Cemas Fizi bertanya.

Kelam-kabut dia menilik tubuh dan kepalaku. Aku menggeleng perlahan, tanda aku tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya jantung saja tak henti-henti berdegup kencang kerana terkejut dengan tindakan Fizi menekan brek kecemasan. Melihat aku menggeleng, Fizi terus menarik nafas lega. Kereta dibawa ke bahu jalan lantas Fizi memohon maaf pada pemandu Hilux yang kekal menekan hon pada kami berdua. Walaupun marah, setelah Fizi bersungguh-sungguh menyatakan kekesalannya, raut tegang pemandu dan penumpang sisi Hilux itu terus kendur.

Allahuakbar! Terasa melayang semangatku tatkala mengenang kejadian yang baru berlaku sebentar tadi. Kenapa Fizi cemas sangat?

“Saiz berapa tu, love?”

“5.”

Gosh. You are wearing six, right?” Duganya perlahan.

Fizi mengambil bungkusan di tanganku lalu digantikan pula dengan bungkusan serupa yang diambil dari tempat duduk belakang pemandu. Sebelum dia meletakkan kotak itu di atas pahaku semula, lama Fizi menatap wajahku.

“Maira...saya tahu awak mesti curiga dengan saya sekarang. Saya mengaku. Saya beli dua LunarEpic Oreo. Tapi tu semua sebab nak match dengan yang saya punya ni.” Ditunjukkan kasut yang tersarung pada kakinya. Aku kekal membisu. Melihat tiada respon daripadaku, Fizi kembali mengarang kata-kata.

“Mula-mula memang saya dah pegang kasut perempuan saiz 6. Entah macam mana, staf Nike terbagi saiz 5 pada saya. Bila saya balik rumah, baru saya perasan saiz kasut awak salah. Saya pergi tukar balik tapi last minute saya ubah fikiran. Mana tahu awak muat saiz 5 berbanding 6? Ada kasut tak serupa dengan saiz kaki kita. Kadang dia besar, kadang dia kecil sikit. Nak elak salah pilih, saya ambil dua-dua. Awak cubalah pakai saiz 6 dulu. Kalau rasa besar sangat, nanti tukarkan dengan yang 5 ni.” Ujar Fizi bersungguh-sungguh.

Aku tidak terus membalas kata-kata lelaki itu sebaliknya, otakku cuba memproses setiap perkataan yang terluah dari bibir Fizi. Hmm...ada benarnya juga apa yang Fizi katakan. Tersalah beli saiz, aku pun pernah buat. Disebabkan dah biasa menyarung sneakers bersaiz 6, sewaktu berkunjung ke kedai Bata tempoh hari, tanpa ragu-ragu aku terus menyambar kasut bersaiz serupa. Apabila kasut itu kuacukan ke kaki, ambik kaw, macam pakai kasut sampan. Besar!

Sedikit demi sedikit, rasa curigaku pada dia mulai sirna. Hati mula menyerap alasan logik Fizi. Lantas, kasut yang masih selamat duduk di dalam kotak, aku keluarkan lalu kusemat di kedua-dua belah kaki.

“Macam mana? Okay tak kasut tu? Besar sangat ke? Atau...sedang elok je melekap dekat kaki awak?”

Bertalu-talu pertanyaan Fizi singgah di cuping telinga. Aku biarkan pertanyaannya tergantung seketika. Tugasanku aku selesaikan sepantas yang boleh. Usai mengikat tali yang terakhir di sebelah kiri, sambil tersenyum meleret, aku tunjukkan padanya kasut yang dah selamat kupakai. Fizi turut meninjau dari ekor mata.

“Sedang elok je melekap dekat kaki saya. Terima kasih belikan saya kasut ni. Awak...saya minta maaf ya sebab meragui awak tadi.”

“Muat ya? Alhamdulillah.” Fizi raup tangan ke muka. “Maafmu kuterima. Alah. Setakat salah faham tu, awak...tak berbekas pun dekat sini.”

Ditunjal dada bidangnya dengan jari telunjuk sebelum tawa halus Fizi kedengaran. Aku turut tergelak kecil. Fizi kembali meneruskan pemanduannya. Kali ini dengan wajah yang riang gembira.

“Oh ye. Lupa nak tanya. Pukul berapa mak dan ayah awak sampai Kulai semalam?”

Ketika ini kami sedang berhenti di lampu isyarat berhampiran Seri Negeri. Memandangkan lampu merah di sini cecah 3 minit untuk bertukar warna, Fizi kembali mengajak aku berbual.

“Hampir pukul 3 pagi.” Balasku sambil menekup mulut, menahan kantuk.

Semalaman menemani mak berbual dan menjadi penunjuk arah ayah, mata ini masih belum larat nak buka sebenarnya. Namun disebabkan aku telah berjanji untuk bertemu Fizi pagi ini, rasa lesu itu kucampak jauh-jauh.

“Uish, lambatnya sampai. Awak jadi Waze buruk ke, love?” Seloroh Fizi selamba. Aku menjeling sekilas. Dia ni. Mengusik tak agak-agak. Waze buruk digelarnya aku? Setakat rumah Mak Andak aku yang letaknya beberapa kilometer dari Plaza Tol Kulai tu, tak mungkinlah ayah akan tersesat hasil mengikut tunjuk arahku.

“Mak dan ayah lambat sampai sebab ayah banyak berhenti dekat RnR.”

“Eh, kenapa?” Fizi perhati nombor di lampu isyarat. 89 saat. Sempat lagi kalau nak sembang lama-lama.

“Ayah tak tahan silau. Mak cerita, banyak kali ayah tekan brek dalam-dalam sebab ayah ingat ada lori dekat depan dia. Bila saya kenangkan balik, rasa menyesal pulak sebab tak temankan mak dan ayah pergi Kulai. Tapi mak dan ayah yang berkeras tak bagi saya ikut.”

“Hmm...” Fizi mengelus-elus janggut sejemputnya. “Awak kata semalam, kakak awak nak ikut mak dan ayah awak pergi Kulai? Tak jadi ke?” Sambungnya kemudian.

Aku segera membetulkan letak punggung. Kusengetkan tubuh ke kanan, lalu menatap tepat ke dalam anak mata coklat gelap Fizi.

“Tak. Kak Naurah tak dapat ikut sebab esok kan Isnin? Anak sulung Kak Naurah sekolah. Lagipun, lepas selesai kenduri Geena pagi ni, malam nanti Mak Andak saya nak buat kenduri tahlil pula untuk arwah atuk dan nenek. Kemungkinan besar mak dan ayah saya balik Tampin semula pagi esok. Mana sempat Dina nak pergi sekolah? Dahlah hari tu Dina cuti panjang sebab kena chicken pox. Tak lama lagi nak exam akhir tahun. Sebab tu Kak Naurah tak jadi teman.” Panjang lebar aku bercerita. Berharap dia akan faham. Apabila Fizi mengangguk-angguk, senyum legaku segera terbentuk.

“Saya kasihan dengan mak dan ayah awak. Sampai hati adik-adik ayah awak buat dia macam tu. Ayah awak tu siapa pada Mak Andak awak? Abang sulung dia kan? Dah tahu nak buat kenduri tunang dan tahlil sekali gus, bincanglah awal-awal masa Raya Haji hari tu. Ini tak. Esok nak buat kenduri, hari ni baru call. Kalau call awal pagi, tak kesahlah sangat. Sempat je mak dan ayah awak bersiap dan gerak lepas Zuhur. Ini....”

Melengking suara Fizi tiba-tiba. Aku terseringai. Dia dah mula membebel. Wajarkah aku menyejukkan hati Fizi?

“...lima minit lagi nak masuk Maghrib, baru terhegeh-hegeh call. Allahuakbar! Saya tak boleh terimalah alasan Mak Andak awak. Terlupa inform, Bang Mursyid. Hello! Adik-beradik kau yang tinggal dekat Pontian dan Singapore kau boleh telefon seminggu awal, abang sulung kau yang tinggal dekat Negeri Sembilan pulak boleh telefon last minute ek?”

“Dahlah, awak. Janganlah marah-marah. Orang yang awak panggil ‘kau’ tu Mak Andak saya tau. Adik ayah saya. Kalau panjang jodoh kita, awak kahwin dengan saya, Mak Andak tu akan jadi mak cik awak. Tak baik kan, panggil mak cik kita ‘kau’ je.”

Hmm...inilah masalahnya. Anak-beranak hati baik. Orang buat jahat dengan dia pun, tetap jugak lembut hati. Maira, apa yang saya cakap ni betul. Tak wajar Mak Andak awak buat ayah awak macam tu. Dan Geena...”

Erk! Aku telan liur bertalu-talu. Apabila nama sepupu yang sama umur denganku itu dibangkitkan oleh Fizi, serta-merta darah gemuruh membuak-buak.

“Saya tahu orang yang sedang galak mesej awak sejak kita tinggalkan rumah awak tadi sampailah sekarang ni, dia kan? Tak payah nak soroklah, love. Saya tahu Geena mesej awak. Tak baca isinya pun saya dah boleh agak apa yang dia katakan.”



Aku menyedut nafas dalam-dalam. Kuat betul deria keenam Fizi. Tahu saja aku menerima mesej daripada sepupuku itu. Bunyi mesej WhatsApp yang baru masuk kedengaran lagi pada Oppo kesayangan. Kali ini bertalu-talu, langsung tak mahu berhenti berdering. Fizi pandang aku serupa nak telan. Namun disebabkan lampu isyarat telah bertukar warna dan kebetulan pula kereta Fizi tergolong di kelompok hadapan, semua persoalan tadi dibiarkan pendam dahulu.

Sementara ada peluang menyelamatkan diri, aku cepat-cepat menyelongkar beg sandangku. Si comel Rose Gold R7s kutarik keluar, lalu di hadapan Fizi, aku menutup data milikku. Apabila aku toleh ke arah Fizi semula, aku nampak bibir lelaki itu mula mengait senyuman lebar. Wajah yang sebelum ini tegang, automatik bertukar mesra.

“Patutnya dari awal lagi awak tutup data tu, love. Tak payah balas mesej Geena. Ni tak. Gigih jugak layan sembang minah tu. Maira...hati-hatilah dengan orang yang ada menyimpan sedikit cemburu pada kita. Dari sedikit tu, tak mustahil boleh berkembang biak menjadi besar. Penyakit hati ni bahaya, love. Kalau tak dirawat, boleh jadi ‘barah’. Bila dah kronik sangat, terus tak mampu diubati lagi.

Lepas ni kalau awak dapat mesej daripada dia lagi dan nampak ada ayat provokasi dekat situ, janji dengan saya yang awak akan delete kesemuanya dan move on. Tak rugi pun awak tak berkawan rapat dengan Geena. Orang dah nak meniti hari bahagia dalam hidupnya. Lambat laun, awak akan dilupakan jugak nanti. Be careful with her okay? Always!” Panjang lebar Fizi menyisip nasihat. Setiap perkataan yang meluncur dari bibirnya kuhadam satu per satu.

Move on? Semudah itukah aku melupakan persahabatan kami? Aku dan Geena sangat rapat sejak kami kecil lagi. Faktor sebaya membuatkan hubungan tu semakin erat. Namun siapa sangka, selepas kami menginjak dewasa, Geena mula berubah laku. Dalam mesranya, ada dingin yang Geena tonjolkan. Lama-kelamaan, aku nampak wujud persaingan yang Geena cuba berikan dalam diam-diam kepadaku.

Astaghfirullah. Berbanding aku yang cuma biasa-biasa ni, Geena kulihat lebih berjaya. Dahlah bijak, cantik pula tu. Tamat SPM, Geena mendapat biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Berbanding aku, walaupun keputusan SPM aku membanggakan, aku tak dapat sebarang tajaan pun untuk menyambung pelajaran di luar negara walaupun telah banyak kali permohonan kuhantar.

Namun aku tetap bersyukur kerana akhirnya aku berjaya menempatkan diri di salah sebuah Universiti Awam dan mengambil bidang yang aku minati, Komunikasi Korporat. Bagiku, itu sudah cukup bermakna. Takkanlah Geena ada simpan perasaan cemburu pada aku pula? Tak logiklah.

“Eh, awak...” Ujarku setelah lama mengelamun. Kuperhati keadaan sekeliling. Pokok-pokok bunga dan papan tanda saja kelihatan kini. Malah, binaan megah yang mengucapkan selamat jalan kepada pengunjung Kota Melaka turut menjadi subjek lensa mata ini berlabuh.

“Kita nak ke mana ni? Awak cakap dengan saya semalam, awak nak ajak saya tengok wayang dekat Aeon Bandaraya. Kenapa awak masuk tol?” Soalku separa terkejut. Fizi hamburkan tawanya.

“Tak jadilah tengok wayang, love. Bosan. Tak ada cerita menarik sekarang. Saya nak bawa awak pergi ke satu tempat. Saya yakin, awak mesti suka tempat yang kita nak pergi ni. Lagipun...awak ingat saja-saja je ke saya hadiahkan kasut tu?” Juih Fizi dengan wajah berseri-seri.

Aku mengerutkan dahi. Bingung dan tak mengerti akan maksud Fizi. Usai menambah nilai kad Touch N Go, Lancer Evo Fizi menderu laju membelah lebuhraya PLUS menuju ke arah Utara.


“Awak...baik awak cakap bebaik. Kita nak pergi mana ni? Saya tak minta izin mak dan ayah saya untuk pergi jejauh tau. Saya cakap dengan mereka tadi, hari ni saya nak keluar tengok wayang dekat Aeon Melaka. Aeon Melaka!”

Sengaja perkataan Aeon Melaka itu aku tekankan kuat-kuat. Mahu Fizi sedar akan janjinya yang telah pun dia mungkiri. Apabila tiada balasan daripada Fizi, aku mula tak sedap hati.

“Awak....” Panggilku setelah sekian lama Fizi berdiam diri. Dia menoleh ke arahku.

“Insya-Allah. Saya akan jaga awak baik-baik, Maira. Trust me. Awak selamat dengan saya.”

“Ya, saya percaya awak akan jaga saya baik-baik. Tapi sekurang-kurangnya beritahulah kita nak pergi mana? Tak sukalah awak berahsia dengan saya.”

“Tak suka?” Dia mengujiku. Aku tidak menjawab. Hanya anggukan kuberi sebagai tanda aku tak suka dia menyorokkan sesuatu di luar pengetahuanku. Fizi semakin galak melorek senyuman.

“Kita nak pergi Songkhla. Kahwin lari.” Bisik Fizi sedikit romantis, membuatkan bulu romaku tegak 90 darjah.

“Fizi!!! Cakaplah betul-betul. Janganlah main-main!”

Di luar sedar, aku menghempuk bahu Fizi dengan beg sandangku sekuat hati. Tindakan refleks. Buntang biji mata Fizi sampai kembang kempis hidungnya menahan sakit. Tak sangka, kuat betul aku membelasah bahunya. Lucu melihat reaksi Fizi, tanpa dapat ditahan-tahan, akhirnya berderai tawa kami berdua. Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi yang ku tak pasti, banyak kali aku menjadi mangsa usikan Fizi lagi. Sampai ke satu tahap, pipi terasa kejang kerana tak henti-henti ketawa. Aku tahu dia mahu aku gembira semasa berada di sampingnya. Ternyata eksperimen lelaki ini berjaya. Aku benar-benar diulit rasa bahagia.

Terima kasih, Fizi...’


Assalammualaikum,

Waving to my readers...

Hai!!!

First and foremost,

Terima kasih sudi berkunjung ke blog kesayangan Mirei May

In Shaa Allah,

Disebabkan buku dah nak keluar ^^0

Saya akan update beberapa bab di blog ini...

Stay tuned and keep supporting Jatuh Cinta Sekali Lagi....

Daedanhee Kamsahamnida



Yours truly writer,

Mirei May ^^,

8 comments:

Zuraidah baharum said...

Thanks sis..
Baru baca kisah ni jd x tau versi lama..
Anyway thanks a lot..

Fathi Fathiyah said...

Nak lagi sis!!!! Cite sis semuanya besttt 😍😍😍 arghhh, dah jatuh cinta plak ngan diorang nih..tak sabar nk tggu smbungannye..keep it up sis! Selamat HarI Raya. Maaf Zahir dan Batin, sis Mirei😘

Unknown said...

Masih mengekalkan identiti my... 😍😍 bile mie baca, macam tgh dgr my cite depan2 mie.. Hehehe.. Nice work sayang... Keep it up... Love u...

Mirei May said...

Sama-sama sis Zuraidah...terima kasih juga sudi berkunjung ke sini...suatu masa nanti, saya akan buka semula versi yang lama di belog, in shaa Allah...nanti sis boleh baca 😊😊

Mirei May said...

Nanti ada lagi, in shaa Allah...terima kasih Fathiyah, jatuh cinta dengan Fizi-Maira 😊😊 terharu sudi tunggu sambungan citer ni...Selamat Hari Raya, Fathiyah...Maaf Zahir dan Batin ya πŸ˜˜πŸ™

Mirei May said...

Sebab I yang tulis, yang and you know the real me πŸ˜„πŸ˜„ mie windu my ek sebab tu mie dengar macam my yg citer kat mie sekarang...hehehehe...love you too, yang...thank you for being my pillar of strengths dan dengar all my fairytales tanpa jemu...me appreciate it so mucho...thank you for being here too...tunggu mie muncul nanti ek πŸ˜„πŸ˜„

Azlina Abdullah said...

Syok nyer..bila boleh dapatkan novel nie...sekali tandatangan tau...

Mirei May said...

Macehhh sis Azlina..lama sis tunggu buku kan? In shaa Allah, lepas ni peluk LADM a.k.a Jatuh Cinta Sekali Lagi erat-erat..nanti may buka order ya...kena praktis sain ni sis...ahahahha...lama tak sain guna nama Mirei May πŸ˜πŸ˜†