BAB 1
Mungkin belum pernah kau rasa
Hati yang berkecai sejuta
Jika ada lain ku rela kau pergi
Mungkin cuba untuk lebih setia
“Assalammualaikum...”
Sapaku lembut sejurus saja berhasil menyelongkar beg sandang Carlo Rino dan
mengeluarkan Oppo kesayangan. Lagu Mungkin dendangan Dia Band terhenti apabila
aku meleretkan jari telunjuk ke warna hijau di atas skrin.
“Waalaikumussalam.
Love, dah siap? Saya ada dekat depan
rumah awak ni.”
Bersemangat suara
lelaki itu menjawab. Aku tersengih lucu. Bibir yang masih pucat tanpa sebarang
warna, aku oleskan dengan LipIce.
“Dah. Kejap ye,
awak. Saya turun.”
Aku segera menutup
pintu bilik. Laju langkah kuatur sewaktu menuruni anak tangga.
“Be careful, love. Jangan berlari. Jalan
je.”
Sempat telinga ini
menangkap kata-kata lembut si dia. Tersentil hujung lidah aku ke depan. Dia nilah.
Tahu je aku sedang berlari sekarang. Padahal, hanya hujung jari kaki saja kulekapkan
ke dada tangga. Disebabkan aku dah terlewat menepati masa janji temu kami,
nasihatnya itu kusisip kemas dalam kepala. Nanti-nantilah aku ikut cakap dia.
“Sorry!!! Saya lambat. Lama dah awak tunggu?”
Ucapku dalam mengah sebaik sahaja berhasil memboloskan diri di dalam Lancer Evo
putih milik si dia. Terjongket keningnya ke atas. Tak berkelip-kelip si dia
menatap wajahku. Sengih menawannya tercarik lebar lalu menimbulkan dua lesung
pipit yang dalam di kedua-dua belah pipinya. Aku tersenyum manis. Suka betul
aku melihat lesung pipit itu. Cantik...
“Good morning Mrs Hafizi Dzariff to-be, Miss
Umairah Husna.”
Kegemaran Hafizi
Dzariff atau mesra kupanggil Fizi, setiap kali kami bertemu mata. Tak
henti-henti dia menggelar diriku bakal ‘Mrs’ nya. Tak semena-mena bertepek
pemerah pipi semula jadi di mukaku kerana malu digelar begitu.
“Morning, Mr Hafizi Dzariff. Dah lama
tunggu saya?”
“Hmmm...lama jugaklah
tunggu. Sempat saya pekena kopi dulu dekat kedai mamak depan kawasan rumah awak
ni.”
“Ye ke? Alamak! Sorry!!! Saya tak sengaja buat awak
tertunggu-tunggu. Please, jangan
marah saya.”
Kedua-dua tapak
tangan kurapatkan ke bawah dagu. Aku benar-benar menyesali tindakanku melewatkan
waktu pertemuan kami. Tak sangka pula penerimaan Fizi selepas itu jauh panggang
dari api. Mati-mati aku ingat dia akan marah, sebaliknya tawa riang Fizi pula
yang galak tercetus.
“Perkara kecil je,
awak. Buat apalah saya nak marah? You
know what, Maira? Bila awak buat perangai kelam-kabut awak tu kan, awak
nampak comel sangat. Haih, kalau dah jadi bini ni, memang saya cubit-cubit pipi
tu. Geram!”
Erk! Takut aku
apabila Fizi menyatakan keinginannya. Lebih-lebih lagi aku nampak tangan kiri
Fizi mula naik ke atas dan semakin menghampiri pipiku. Lagilah nak gugur
jantung ini kurasa. Aku segera merapatkan belakang tubuh ke dinding pintu
kereta Fizi. Beg sandang awal-awal lagi sudah menjadi benteng pertahanan. Andai
kata tangan dia tetap juga nak menggatal, akan aku hempuk beg berat berisi
pelbagai barangan peribadiku ini ke tangan sasanya itu. Ingat aku tak berani
ke?
“Jangan sentuh
saya, Fizi. Kita belum kahwin lagi tau. Saya jerit nanti. Terus kita tak jadi keluar.
Hei!!!” Nyaring suaraku meledak. Terhenti tangan Fizi di udara. Serentak, bibir
lelaki kecintaan aku ini mula mengukir senyuman hingga terserlah barisan
giginya yang kemas tersusun.
‘Hish, dia ni. Aku dah separuh nyawa
takut, dia boleh kulum-kulum senyum pulak. Toreh lesung pipit tu nanti, baru
tau! Cett!’
“Perasannya! Siapa
kata saya nak sentuh awak? Saya cintakan awak sangat-sangat, Maira. Saya takkan
biarkan tangan saya ni mengotorkan kesucian awak. Saja je tadi saya pura-pura
nak takutkan awak. Sebenarnya...”
Si kacak persis
pelakon Aidit Noh itu menukar arah haluan tangan kirinya ke tempat duduk di belakangku
lalu menarik keluar sebungkus beg plastik berwarna hitam. Berkerut keningku
sewaktu berbalas pandang dengannya.
“Untuk saya ke?”
Tanyaku pelik. Fizi kerlipkan matanya.
“Err...hari ni bukan hari jadi saya.
Kenapa awak bagi saya hadiah?”
“Nak bagi hadiah,
tak perlu specific date pun. Bila
awak dah setuju jadi kekasih saya, awak kena bersedia untuk terima macam-macam hadiah
daripada saya. Love... ingat lagi tak
hari tu awak demam panas dan saya outstation
ke KL?” Ujarnya lembut.
Ingat. Apa pula
tak ingatnya? Heboh Fizi nak menjemputku di hospital sedangkan masa tu dia baru
saja melepasi susur keluar Simpang Ampat. Jauh lagi nak tiba ke Hospital Pantai
Ayer Keroh. Sebab tu aku menolak permintaan Fizi dan menyuruh dia terus pulang
ke pejabat saja.
“Sebagai tanda
minta maaf sebab saya tiada di sisi awak semasa awak sakit dulu, saya nak bagi
awak ni. Ambillah. Ikhlas daripada saya.”
Beg plastik hitam
bercorak logo yang amat aku kenali dihulurkan ke arahku. Teragak-agak aku mahu
mengambilnya. Fizi tetap melorek senyuman. Tak pula dia mendesak, bahkan begitu
sabar dia menanti tanganku memegang bucu beg plastik. Barangkali dia dapat
menebak aku seakan berat hati untuk menerima hadiah pemberiannya ini tak?
Iyalah. Mahunya aku tak terkejut?
“Nike ni, awak.
Mahal tu. Kenapa awak bazirkan duit beli kasut ni untuk saya?” Ucapku separuh
lelah.
Menatap harga yang
tertera di kotak Nike tu saja sudah mampu menghentikan denyutan jantung. RM
629? Kasut jogging yang aku beli online dulu pun tak sampai RM 70. Yang
ni berganda-ganda mahalnya. Ya Allah...
“Tak salah kalau
saya habiskan duit saya untuk orang yang saya cintai sepenuh hati. Love, saya betul-betul menyesal sebab
tak berkeras nak ambil awak dekat hospital. Bila saya dengar cerita yang awak pengsan
depan pintu pagar rumah keluarga awak, lagilah saya rasa bersalah sangat. Saya
betul-betul minta maaf sebab mengabaikan awak.”
“Lah...Bukan salah
awak pun saya pengsan. Salah saya sendiri sebab tak jaga kesihatan baik-baik.
Baru lepas jumpa doktor, terus balik Tampin. Patutnya saya rehat dulu dekat
rumah sewa saya. Ni tak. Gigih jugak nak balik kampung sebab saya fikir Ayer
Keroh dengan Tampin, taklah jauh mana pun. Dekat je. Saya lupa kereta saya
manual. Asyik tukar-tukar gear, saya overuse
badan yang sememangnya dah lemah ni. Tak payahlah minta maaf, Fizi.”
Bersungguh-sungguh
aku menolak huluran Fizi namun lelaki itu mengeraskan tubuh. Tak berkelip-kelip
dia menatap mataku. Raut wajahnya yang serius dan kadang-kadang sedih itu
membuatkan aku bungkam. Sudah! Janganlah dia berkecil hati. Aku tak mahu dia
salah sangka denganku.
Dari mula berkasih
sejak tiga bulan lalu sampailah ke hari ini, dah banyak kali Fizi membazirkan
duitnya untukku. Aku tahu dia mampu. Gaji dia sebulan, berganda tingginya
daripada gaji aku di Azrani Holdings, tempat kami menabur bakti. Namun itu tak
bermaksud aku suka dia berhabis banyak keranaku. Aku tak mahu menerima terlalu
banyak budi daripada Fizi.
Lagipun, bukan
kegemaran aku memakai kasut mahal-mahal begini. Aduh, macam mana aku mahu
terangkan pada Fizi? Aku tak nak nanti dia menganggap aku ni pisau cukur, suka mengikis
duit dia seandainya hubungan kami kandas di tengah jalan. Na’uzubillahi min
zaalik!
“Okaylah. Saya terima. Lepas ni jangan
beli apa-apa lagi tau.”
Akhirnya aku
mengalah. Itu pun setelah sesak nafas ini melihat Fizi menjadi semakin diam dan
riaknya semakin sedih.
“Yes! Terima pun. Kalau cakap macam tu
awal-awal tadi kan senang? Takdelah penat saya berlakon buat muka sedih.” Ujar
Fizi sebelum tawanya meletus tiba-tiba.
Aku ternganga
besar. What the heck? Dia tipu aku?
Fizi segera
memberi isyarat ke kanan. Tak sampai beberapa saat, Lancer Evo miliknya meluncur
laju meninggalkan kawasan perumahanku. Sepanjang masa suara garau Fizi
menghiasi suasana. Tak henti-henti dia ketawakan aku. Malah, tanpa kusedari, aku
turut berjangkit perangainya dengan membuat senaman mulut beberapa kali. Kejap
terjuih, kejap tercebik. Ada kalanya terseringai satu macam apabila tawa Fizi
mengalahkan jeritan Faizal Tahir di corong radio.
‘Hish! Tolonglah senyap, Encik Hafizi Dzariff
oi! Lagu Hanyut ni. Aku nak dengar Faizal Tahir nyanyi, bukannya suara kau ketawa!’
Geram sebab tidak
dapat menghayati lagu kegemaranku dengan aman, aku mengambil keputusan untuk menilik
kasut pemberian Fizi. Senyuman terukir di bibir sebaik sahaja kasut berwarna
kelabu itu berada di dalam genggaman. Cantiknya. Si kelabu yang menjadi igauanku
beberapa minggu lalu kini sudah pun menjadi milikku. Tak sangka dia nampak aku
pegang kasut ni dulu sewaktu kami singgah di kedai Nike, KLCC.
Aku makin seronok
mengulit kasut tersebut. Kalau boleh, setiap inci kasut itu mahu aku terokai.
Dari tapak, bawa ke badan sebelum jariku mengusik jahitannya yang kemas,
semuanya aku lakukan dengan riang. Sampailah penerokaanku terhenti pada sesuatu
yang membuatkan keterujaanku mula luntur.
“Awak...”
Panggilku perlahan.
“Ya?”
“Kasut ni....”
Makin perlahan suaraku. Fizi kerling aku sekilas.
“Kenapa dengan
kasut tu?” Tanya Fizi tenang. Matanya kembali dihalakan ke arah jalan. Aku diam
menikus. Sahlah dia masih tak sedar lagi.
“Awak tersalah
beli saiz...”
Sreettt!!!
Terhambur aku ke
depan apabila Fizi menghentikan kereta secara mendadak. Astaghfirullah hal
adzim! Mujur tali pinggang keledar dah selamat melilit tubuhku. Tak dapat aku
bayangkan seandainya aku lupa mengenakan alat keselamatan itu tadi. Pasti
kepalaku dah terhantuk pada cermin depan. Bunyi hon bertalu-talu dari Hilux di
belakang kami membuatkan jantung aku semakin ganas mengepam darah.
Tergigil-gigil aku menoleh ke arah Fizi yang turut kaku memegang stereng.
“Love, I’m so sorry! Saya tak sengaja tekan brek dalam-dalam tadi. Awak
tak apa-apa?” Cemas Fizi bertanya.
Kelam-kabut dia menilik
tubuh dan kepalaku. Aku menggeleng perlahan, tanda aku tidak mengalami sebarang
kecederaan. Hanya jantung saja tak henti-henti berdegup kencang kerana terkejut
dengan tindakan Fizi menekan brek kecemasan. Melihat aku menggeleng, Fizi terus
menarik nafas lega. Kereta dibawa ke bahu jalan lantas Fizi memohon maaf pada
pemandu Hilux yang kekal menekan hon pada kami berdua. Walaupun marah, setelah
Fizi bersungguh-sungguh menyatakan kekesalannya, raut tegang pemandu dan
penumpang sisi Hilux itu terus kendur.
Allahuakbar!
Terasa melayang semangatku tatkala mengenang kejadian yang baru berlaku
sebentar tadi. Kenapa Fizi cemas sangat?
“Saiz berapa tu, love?”
“5.”
“Gosh. You are wearing six, right?” Duganya perlahan.
Fizi mengambil
bungkusan di tanganku lalu digantikan pula dengan bungkusan serupa yang diambil
dari tempat duduk belakang pemandu. Sebelum dia meletakkan kotak itu di atas
pahaku semula, lama Fizi menatap wajahku.
“Maira...saya tahu
awak mesti curiga dengan saya sekarang. Saya mengaku. Saya beli dua LunarEpic Oreo.
Tapi tu semua sebab nak match dengan yang
saya punya ni.” Ditunjukkan kasut yang tersarung pada kakinya. Aku kekal
membisu. Melihat tiada respon daripadaku, Fizi kembali mengarang kata-kata.
“Mula-mula memang
saya dah pegang kasut perempuan saiz 6. Entah macam mana, staf Nike terbagi
saiz 5 pada saya. Bila saya balik rumah, baru saya perasan saiz kasut awak
salah. Saya pergi tukar balik tapi last
minute saya ubah fikiran. Mana tahu awak muat saiz 5 berbanding 6? Ada
kasut tak serupa dengan saiz kaki kita. Kadang dia besar, kadang dia kecil
sikit. Nak elak salah pilih, saya ambil dua-dua. Awak cubalah pakai saiz 6
dulu. Kalau rasa besar sangat, nanti tukarkan dengan yang 5 ni.” Ujar Fizi
bersungguh-sungguh.
Aku tidak terus
membalas kata-kata lelaki itu sebaliknya, otakku cuba memproses setiap
perkataan yang terluah dari bibir Fizi. Hmm...ada benarnya juga apa yang Fizi katakan.
Tersalah beli saiz, aku pun pernah buat. Disebabkan dah biasa menyarung sneakers bersaiz 6, sewaktu berkunjung
ke kedai Bata tempoh hari, tanpa ragu-ragu aku terus menyambar kasut bersaiz
serupa. Apabila kasut itu kuacukan ke kaki, ambik
kaw, macam pakai kasut sampan. Besar!
Sedikit demi
sedikit, rasa curigaku pada dia mulai sirna. Hati mula menyerap alasan logik
Fizi. Lantas, kasut yang masih selamat duduk di dalam kotak, aku keluarkan lalu
kusemat di kedua-dua belah kaki.
“Macam mana? Okay tak kasut tu? Besar sangat ke? Atau...sedang
elok je melekap dekat kaki awak?”
Bertalu-talu
pertanyaan Fizi singgah di cuping telinga. Aku biarkan pertanyaannya tergantung
seketika. Tugasanku aku selesaikan sepantas yang boleh. Usai mengikat tali yang
terakhir di sebelah kiri, sambil tersenyum meleret, aku tunjukkan padanya kasut
yang dah selamat kupakai. Fizi turut meninjau dari ekor mata.
“Sedang elok je melekap
dekat kaki saya. Terima kasih belikan saya kasut ni. Awak...saya minta maaf ya sebab
meragui awak tadi.”
“Muat ya? Alhamdulillah.”
Fizi raup tangan ke muka. “Maafmu kuterima. Alah. Setakat salah faham tu, awak...tak
berbekas pun dekat sini.”
Ditunjal dada
bidangnya dengan jari telunjuk sebelum tawa halus Fizi kedengaran. Aku turut
tergelak kecil. Fizi kembali meneruskan pemanduannya. Kali ini dengan wajah
yang riang gembira.
“Oh ye. Lupa nak
tanya. Pukul berapa mak dan ayah awak sampai Kulai semalam?”
Ketika ini kami
sedang berhenti di lampu isyarat berhampiran Seri Negeri. Memandangkan lampu
merah di sini cecah 3 minit untuk bertukar warna, Fizi kembali mengajak aku
berbual.
“Hampir pukul 3
pagi.” Balasku sambil menekup mulut, menahan kantuk.
Semalaman menemani
mak berbual dan menjadi penunjuk arah ayah, mata ini masih belum larat nak buka
sebenarnya. Namun disebabkan aku telah berjanji untuk bertemu Fizi pagi ini,
rasa lesu itu kucampak jauh-jauh.
“Uish, lambatnya
sampai. Awak jadi Waze buruk ke, love?”
Seloroh Fizi selamba. Aku menjeling sekilas. Dia ni. Mengusik tak agak-agak. Waze
buruk digelarnya aku? Setakat rumah Mak Andak aku yang letaknya beberapa
kilometer dari Plaza Tol Kulai tu, tak mungkinlah ayah akan tersesat hasil
mengikut tunjuk arahku.
“Mak dan ayah
lambat sampai sebab ayah banyak berhenti dekat RnR.”
“Eh, kenapa?” Fizi
perhati nombor di lampu isyarat. 89 saat. Sempat lagi kalau nak sembang
lama-lama.
“Ayah tak tahan
silau. Mak cerita, banyak kali ayah tekan brek dalam-dalam sebab ayah ingat ada
lori dekat depan dia. Bila saya kenangkan balik, rasa menyesal pulak sebab tak
temankan mak dan ayah pergi Kulai. Tapi mak dan ayah yang berkeras tak bagi
saya ikut.”
“Hmm...” Fizi
mengelus-elus janggut sejemputnya. “Awak kata semalam, kakak awak nak ikut mak
dan ayah awak pergi Kulai? Tak jadi ke?” Sambungnya kemudian.
Aku segera
membetulkan letak punggung. Kusengetkan tubuh ke kanan, lalu menatap tepat ke
dalam anak mata coklat gelap Fizi.
“Tak. Kak Naurah
tak dapat ikut sebab esok kan Isnin? Anak sulung Kak Naurah sekolah. Lagipun,
lepas selesai kenduri Geena pagi ni, malam nanti Mak Andak saya nak buat
kenduri tahlil pula untuk arwah atuk dan nenek. Kemungkinan besar mak dan ayah
saya balik Tampin semula pagi esok. Mana sempat Dina nak pergi sekolah? Dahlah
hari tu Dina cuti panjang sebab kena chicken
pox. Tak lama lagi nak exam akhir
tahun. Sebab tu Kak Naurah tak jadi teman.” Panjang lebar aku bercerita. Berharap
dia akan faham. Apabila Fizi mengangguk-angguk, senyum legaku segera terbentuk.
“Saya kasihan
dengan mak dan ayah awak. Sampai hati adik-adik ayah awak buat dia macam tu.
Ayah awak tu siapa pada Mak Andak awak? Abang sulung dia kan? Dah tahu nak buat
kenduri tunang dan tahlil sekali gus, bincanglah awal-awal masa Raya Haji hari
tu. Ini tak. Esok nak buat kenduri, hari ni baru call. Kalau call awal
pagi, tak kesahlah sangat. Sempat je mak dan ayah awak bersiap dan gerak lepas
Zuhur. Ini....”
Melengking suara
Fizi tiba-tiba. Aku terseringai. Dia dah mula membebel. Wajarkah aku
menyejukkan hati Fizi?
“...lima minit
lagi nak masuk Maghrib, baru terhegeh-hegeh call.
Allahuakbar! Saya tak boleh terimalah alasan Mak Andak awak. Terlupa inform, Bang Mursyid. Hello! Adik-beradik kau yang tinggal
dekat Pontian dan Singapore kau boleh
telefon seminggu awal, abang sulung kau yang tinggal dekat Negeri Sembilan pulak
boleh telefon last minute ek?”
“Dahlah, awak.
Janganlah marah-marah. Orang yang awak panggil ‘kau’ tu Mak Andak saya tau.
Adik ayah saya. Kalau panjang jodoh kita, awak kahwin dengan saya, Mak Andak tu
akan jadi mak cik awak. Tak baik kan, panggil mak cik kita ‘kau’ je.”
“Hmm...inilah masalahnya. Anak-beranak
hati baik. Orang buat jahat dengan dia pun, tetap jugak lembut hati. Maira, apa
yang saya cakap ni betul. Tak wajar Mak Andak awak buat ayah awak macam tu. Dan
Geena...”
Erk! Aku telan liur
bertalu-talu. Apabila nama sepupu yang sama umur denganku itu dibangkitkan oleh
Fizi, serta-merta darah gemuruh membuak-buak.
“Saya tahu orang yang
sedang galak mesej awak sejak kita tinggalkan rumah awak tadi sampailah sekarang
ni, dia kan? Tak payah nak soroklah, love.
Saya tahu Geena mesej awak. Tak baca isinya pun saya dah boleh agak apa yang
dia katakan.”
Aku menyedut nafas
dalam-dalam. Kuat betul deria keenam Fizi. Tahu saja aku menerima mesej
daripada sepupuku itu. Bunyi mesej WhatsApp yang baru masuk kedengaran lagi
pada Oppo kesayangan. Kali ini bertalu-talu, langsung tak mahu berhenti
berdering. Fizi pandang aku serupa nak telan. Namun disebabkan lampu isyarat
telah bertukar warna dan kebetulan pula kereta Fizi tergolong di kelompok
hadapan, semua persoalan tadi dibiarkan pendam dahulu.
Sementara ada
peluang menyelamatkan diri, aku cepat-cepat menyelongkar beg sandangku. Si
comel Rose Gold R7s kutarik keluar, lalu di hadapan Fizi, aku menutup data
milikku. Apabila aku toleh ke arah Fizi semula, aku nampak bibir lelaki itu
mula mengait senyuman lebar. Wajah yang sebelum ini tegang, automatik bertukar mesra.
“Patutnya dari
awal lagi awak tutup data tu, love.
Tak payah balas mesej Geena. Ni tak. Gigih jugak layan sembang minah tu.
Maira...hati-hatilah dengan orang yang ada menyimpan sedikit cemburu pada kita.
Dari sedikit tu, tak mustahil boleh berkembang biak menjadi besar. Penyakit
hati ni bahaya, love. Kalau tak
dirawat, boleh jadi ‘barah’. Bila dah kronik sangat, terus tak mampu diubati
lagi.
Lepas ni kalau awak
dapat mesej daripada dia lagi dan nampak ada ayat provokasi dekat situ, janji
dengan saya yang awak akan delete
kesemuanya dan move on. Tak rugi pun
awak tak berkawan rapat dengan Geena. Orang dah nak meniti hari bahagia dalam
hidupnya. Lambat laun, awak akan dilupakan jugak nanti. Be careful with her okay? Always!”
Panjang lebar Fizi menyisip nasihat. Setiap perkataan yang meluncur dari
bibirnya kuhadam satu per satu.
Move on? Semudah itukah
aku melupakan persahabatan kami? Aku dan Geena sangat rapat sejak kami kecil
lagi. Faktor sebaya membuatkan hubungan tu semakin erat. Namun siapa sangka,
selepas kami menginjak dewasa, Geena mula berubah laku. Dalam mesranya, ada
dingin yang Geena tonjolkan. Lama-kelamaan, aku nampak wujud persaingan yang
Geena cuba berikan dalam diam-diam kepadaku.
Astaghfirullah.
Berbanding aku yang cuma biasa-biasa ni, Geena kulihat lebih berjaya. Dahlah
bijak, cantik pula tu. Tamat SPM, Geena mendapat biasiswa JPA untuk melanjutkan
pelajaran di luar negara. Berbanding aku, walaupun keputusan SPM aku
membanggakan, aku tak dapat sebarang tajaan pun untuk menyambung pelajaran di
luar negara walaupun telah banyak kali permohonan kuhantar.
Namun aku tetap
bersyukur kerana akhirnya aku berjaya menempatkan diri di salah sebuah
Universiti Awam dan mengambil bidang yang aku minati, Komunikasi Korporat. Bagiku,
itu sudah cukup bermakna. Takkanlah Geena ada simpan perasaan cemburu pada aku
pula? Tak logiklah.
“Eh, awak...”
Ujarku setelah lama mengelamun. Kuperhati keadaan sekeliling. Pokok-pokok bunga
dan papan tanda saja kelihatan kini. Malah, binaan megah yang mengucapkan
selamat jalan kepada pengunjung Kota Melaka turut menjadi subjek lensa mata ini
berlabuh.
“Kita nak ke mana
ni? Awak cakap dengan saya semalam, awak nak ajak saya tengok wayang dekat Aeon
Bandaraya. Kenapa awak masuk tol?” Soalku separa terkejut. Fizi hamburkan
tawanya.
“Tak jadilah
tengok wayang, love. Bosan. Tak ada
cerita menarik sekarang. Saya nak bawa awak pergi ke satu tempat. Saya yakin,
awak mesti suka tempat yang kita nak pergi ni. Lagipun...awak ingat saja-saja
je ke saya hadiahkan kasut tu?” Juih Fizi dengan wajah berseri-seri.
Aku mengerutkan
dahi. Bingung dan tak mengerti akan maksud Fizi. Usai menambah nilai kad Touch
N Go, Lancer Evo Fizi menderu laju membelah lebuhraya PLUS menuju ke arah
Utara.
“Awak...baik awak
cakap bebaik. Kita nak pergi mana ni? Saya tak minta izin mak dan ayah saya untuk
pergi jejauh tau. Saya cakap dengan mereka tadi, hari ni saya nak keluar tengok
wayang dekat Aeon Melaka. Aeon Melaka!”
Sengaja perkataan
Aeon Melaka itu aku tekankan kuat-kuat. Mahu Fizi sedar akan janjinya yang
telah pun dia mungkiri. Apabila tiada balasan daripada Fizi, aku mula tak sedap
hati.
“Awak....”
Panggilku setelah sekian lama Fizi berdiam diri. Dia menoleh ke arahku.
“Insya-Allah. Saya
akan jaga awak baik-baik, Maira. Trust me.
Awak selamat dengan saya.”
“Ya, saya percaya
awak akan jaga saya baik-baik. Tapi sekurang-kurangnya beritahulah kita nak
pergi mana? Tak sukalah awak berahsia dengan saya.”
“Tak suka?” Dia
mengujiku. Aku tidak menjawab. Hanya anggukan kuberi sebagai tanda aku tak suka
dia menyorokkan sesuatu di luar pengetahuanku. Fizi semakin galak melorek
senyuman.
“Kita nak pergi
Songkhla. Kahwin lari.” Bisik Fizi sedikit romantis, membuatkan bulu romaku
tegak 90 darjah.
“Fizi!!! Cakaplah
betul-betul. Janganlah main-main!”
Di luar sedar, aku
menghempuk bahu Fizi dengan beg sandangku sekuat hati. Tindakan refleks.
Buntang biji mata Fizi sampai kembang kempis hidungnya menahan sakit. Tak
sangka, kuat betul aku membelasah bahunya. Lucu melihat reaksi Fizi, tanpa
dapat ditahan-tahan, akhirnya berderai tawa kami berdua. Sepanjang perjalanan
menuju ke destinasi yang ku tak pasti, banyak kali aku menjadi mangsa usikan
Fizi lagi. Sampai ke satu tahap, pipi terasa kejang kerana tak henti-henti ketawa.
Aku tahu dia mahu aku gembira semasa berada di sampingnya. Ternyata eksperimen
lelaki ini berjaya. Aku benar-benar diulit rasa bahagia.
‘Terima kasih, Fizi...’
Assalammualaikum,
Waving to my readers...
Hai!!!
First and foremost,
Terima kasih sudi berkunjung ke blog kesayangan Mirei May
In Shaa Allah,
Disebabkan buku dah nak keluar ^^0
Saya akan update beberapa bab di blog ini...
Stay tuned and keep supporting Jatuh Cinta Sekali Lagi....
Daedanhee Kamsahamnida
Yours truly writer,
Mirei May ^^,
8 comments:
Thanks sis..
Baru baca kisah ni jd x tau versi lama..
Anyway thanks a lot..
Nak lagi sis!!!! Cite sis semuanya besttt πππ arghhh, dah jatuh cinta plak ngan diorang nih..tak sabar nk tggu smbungannye..keep it up sis! Selamat HarI Raya. Maaf Zahir dan Batin, sis Mireiπ
Masih mengekalkan identiti my... ππ bile mie baca, macam tgh dgr my cite depan2 mie.. Hehehe.. Nice work sayang... Keep it up... Love u...
Sama-sama sis Zuraidah...terima kasih juga sudi berkunjung ke sini...suatu masa nanti, saya akan buka semula versi yang lama di belog, in shaa Allah...nanti sis boleh baca ππ
Nanti ada lagi, in shaa Allah...terima kasih Fathiyah, jatuh cinta dengan Fizi-Maira ππ terharu sudi tunggu sambungan citer ni...Selamat Hari Raya, Fathiyah...Maaf Zahir dan Batin ya ππ
Sebab I yang tulis, yang and you know the real me ππ mie windu my ek sebab tu mie dengar macam my yg citer kat mie sekarang...hehehehe...love you too, yang...thank you for being my pillar of strengths dan dengar all my fairytales tanpa jemu...me appreciate it so mucho...thank you for being here too...tunggu mie muncul nanti ek ππ
Syok nyer..bila boleh dapatkan novel nie...sekali tandatangan tau...
Macehhh sis Azlina..lama sis tunggu buku kan? In shaa Allah, lepas ni peluk LADM a.k.a Jatuh Cinta Sekali Lagi erat-erat..nanti may buka order ya...kena praktis sain ni sis...ahahahha...lama tak sain guna nama Mirei May ππ
Post a Comment