Sunday 22 October 2017

Cerpen: Hati Ini




Pagi di SMK Seri Kenanga...

23 Oktober 2017.
Permulaan minggu baru.
Baru selesai perhimpunan pagi.
Guru-guru masih di bilik guru.
Anak-anak murid kebanyakannya sedang melepak di koridor dan belakang kelas.

Hanya segelintir saja duduk di meja tengah untuk mendapatkan sejuk angin kipas yang berpusing ligat, sambil cuba menenangkan seorang budak perempuan yang paling cantik di antara 18 orang pelajar di kelas 3 Rancangan Khas 1.

"Sabar. Kalau tak betul, buat apa nak respon?" 


Asyurah menepuk-nepuk bahu sahabatnya yang bermuram durja. Ninie, Nana dan Nita bersetuju. Masing-masing sibuk membaca intipati yang terkandung dalam kertas putih berlatar belakangkan status Facebook tersebut. Penuh sindiran semata-mata. Tak cukup iman, memang dah lari tingkat lima lalu terjun ke bawah bangunan. Mujur mereka kuat memberi rangsangan positif pada Andriana. Sekurang-kurangnya, hanya tangisan yang tersembur. Bukan niat merepek yang mampu menghentikan denyut nafas mereka berempat.

"Senanglah cakap. Sabar! Sabar! Sabar! Macam mana aku nak sabar kalau semua orang tahu status Lin tu memang tuju tuk aku? Tak sampai beberapa minit aku up status aku. Tup-tup dia pulak mencelah. Acah-acah suci sambil betulkan semua ayat yang aku tulis sebelum ni. Hei, budak terencat depan kita ni pun tahulah Lin tu tengah sindir aku kaw-kaw dalam Facebook."

Budak terencat? Empat pasang mata berkalih ke meja berhampiran pintu. Duduk Akirah, yang tekun menyiapkan tugasan Matematiknya di situ. Seperti biasa, Akirah dengan dunianya sendiri. Tak hapik langsung pada keadaan sekeliling. Andriana menjeling tajam. Macam mana budak paling longot di kelas mereka boleh menjadi pelajar terbaik setiap masa? Tengoklah tu. Kerja sekolah yang nak kena hantar pagi ni, baru terhegeh-hegeh mahu disiapkan. Best student? Huh! Kaki kipas cikgu adalah. Cikgu-cikgu pun pilih kasih. Asal Akirah tak siap kerja sekolah je, masing-masing tak ambil tindakan. Kalau dirinya atau murid lain yang tak siap, mesti dah kena denda berdiri tegak belakang kelas sampai masa tamat. Tapi Akirah?

"Persetankanlah Akirah tu. Dia tu batu. Kita hina apa pun, dia bukannya tau nak membalas. Buat sakit hati kita je. Kau ni, dah tenang ke belum?"

"Nak tenang apanya kalau si Lin tu tak padam lagi status yang dia tulis tu. Wei, balik sekolah karang, aku nak jumpa dia. Korang on?"

On? Istilah mereka mencari gaduh. Nita pandang Ninie. Ninie pandang Nana dan Nana senyum penuh makna seraya mencebik.

ON!!!!!

******************

Aku bukan batu.

Aku bukan terencat.

Aku takkan jadi best student, kalau aku tak korbankan segala perasaan yang aku ada.

******************

"Luka baru?"

Akram melompat turun dari bukit landai di belakang Blok C. Ketika semua pelajar berpusu-pusu ke kantin untuk mengisi perut, si gadis pujaannya menyelinap senyap-senyap ke kawasan ini untuk mencari ketenangan. Akirah yang terperanjat dengan kedatangan Akram cepat-cepat menurunkan kembali lengan baju kurungnya. Ditutup gugup sendiri sambil mengunyah roti kaya yang dibeli di koperasi sekolah.

"Kau ponteng kelas ya?"

"Taklah."

"Tipu. Sekarang bukan masa rehat kau. Sekarang masa rehat aku."

"Alah. Bosanlah belajar Sejarah Peradaban. Sebab tu aku keluar, cari kau."

Akram tersenyum, mendengar seloroh sendiri. Ditenung wajah lembut di sebelahnya. Mata Akirah kekal tak bercahaya, senyuman pun tak berkuis walau sedikit. Senyap saja gadis itu sambil meneruskan kunyahan terakhirnya.

"Kenyang ke makan roti je?"

"Kenyang."

"Kalau kau nak nasi lemak, aku pergi beli dekat kantin."

"Tak payahlah Akram. Kau tu calon Ketua Pengawas tahun depan. Kalau cikgu nampak kau merayap dekat kantin, hilang peluang kau nak jadi ketua nanti."

"Krik krik krik...."

Tak gelak jugak? Payahnya nak melenturkan tembok batu hati Akirah Nasuha. Akram menarik keluar Hansaplast di poket kemejanya. Dihulurkan pada Akirah. Pakai. Kalau tak, aku sendiri akan pakaikan dekat tangan kau. Telepati segera diberi dan senyumannya terukir, tatkala Akirah menyambut hulurannya.

"Looking bad this time. Kenapa tak mintak tolong aku?"

"Kau bukannya superhero yang aku inginkan."

"Hei!!!! Sekarang ya, aku ni lembik. Kau tunggulah 10 tahun lagi. Aku akan datang pada kau sebagai superhero yang paling kau dambakan antara semua. I...will..." Akram tekan atas Hansaplast untuk mengemaskan balutan pada luka Akirah. "protect you...."

Setelah sekian lama mencuba, barulah dia nampak senyuman Akirah yang selama ini diselindungkan daripada semua. Sikit saja, namun tetap cantik. Setidak-tidaknya, Akirah mula membuka kepercayaannya pada seseorang. Tapi apabila senyuman itu turut terselit air mata yang mencurah-curah, lidah Akram terus kelu.

"Sa....saaa....save...m...m...me..."

***********************

Mereka masih di bangku sekolah. Dia 16 tahun. Akirah muda setahun. Bolehkah budak seusianya menjadi pelindung? Dia bukan Ejen Ali. Dia cuma Akram, anak Dato' Sukur yang masih mengharapkan belas ihsan PaMa untuk meneruskan kehidupan.

"Tengok Andriana ke?" 

Dzariff datang menyenggol bahunya. Akram tersenyum seraya menggeleng. Gadis paling cantik bukanlah kegemarannya. Dia tak seperti orang lain. Mengejar sesuatu yang paling popular dan menawan. Hatinya telah dikunci oleh gadis bertudung lusuh di belakang Andriana. Itulah pujaannya. Itulah nyawanya...

"Kau ada dengar cerita tak?"

"Pasal?"

"Andriana..."

Hmm...malas nak ambil tahu tapi diikutkan juga rentak Dzariff apabila dilihatnya si sahabat baik beria-ia mahu berkongsi rahsia.

"Shoot it."

"Nampak baik budak tu tapi dekat belakang...perghhhh...semua jantan dilayannya."

"Really?"

"Positive."

"Mana kau tahu?"

"Kecoh dah semua orang cerita."

"So, kau dengar cerita dari orang atas oranglah? Bukan kau nampak sendiri?"

Diam. Bergerak-gerak halkum Dzariff. Akram senyum sampai ke telinga. Dia bangun lalu menepuk-nepuk bahu sahabatnya. Sebentar lagi akan masuk waktu rehat pelajar menengah rendah. Disebabkan dia dah berjanji dengan Pakcik Soleh untuk mengambil nasi lemak di kantin ketika loceng rehat berbunyi, dia mahu melakukannya segera. Bimbang Akirah dah beli roti kaya dulu sebelum dia menghadiahkan nasi lemak tu. Jadi, zassssss.....

*******************

"Kau tahu kenapa aku suka roti kaya?"

"Sebab kau nak merasa kaya sekejap?" Usik Akram.

"Mana kau tahu?"

Termati sengih Akram. Aik...betul ke? Dia bagi jawapan main-main saja. Tak sangka betul pula taakulannya.

"Err....."

"Akram."

Tiba-tiba namanya dipanggil. Akram merenung Akirah penuh kelembutan. Oh angin...sampaikanlah lagu cinta ini kepadanya. Takkah Akirah merasai apa yang dia rasakan sekarang?

"Aku dengar cerita..."

Lor, dengar cerita lagi? Rasanya minggu ni banyak kali dia mendengar cerita orang. Penat nak jadi pendengar setia tapi disebabkan orang itu Akirah, tak mengapalah. Dia rela. Air Mountain Dew diteguknya ke dalam mulut.

"Kau dengan Andriana couple."

Uhuk! Purrfffffff!!!! Habis mulut dan hidungnya tersembur air berwarna ungu.

"Merepek apa pulak ni? Bila masa aku dengan minah tu couple?"

"Satu sekolah dah kecoh. Kawan-kawan kelas aku kata, kau back up Andriana masa dia kena kutuk dengan kawan kau. Sebab tu masa kau lalu dekat kelas kitorang tadi, kau kena siul dan usik."

Oh? Akram terseringai. Otaknya cuba mengingati kejadian-kejadian yang berlaku sebelum ini. Mungkin ada yang melekat kukuh di memorinya. Apabila kejadian usikan serta perbualan Akirah ini menerpa benaknya, mata Akram terus terpejam rapat.

Ada!

Dah jadi satu masalah pada dia pula untuk menerangkan pada Akirah. Ni semua kerja Dzariff lah ni. Memandai saja mengarang gosip hanya menilai pada subjek yang dilihatnya dekat padang sekolah tempoh hari. Manusia lupa. Pandangan setiap kita berlainan. Kita tengok A, tapi orang sangka kita tengah menghayati B, C, D sampai Z. Paling membahayakan apabila mereka merasakan andaian mereka betul lalu membuat pelbagai spekulasi.

"Kau percaya aku ke...kau percaya cakap satu sekolah ni?"

"Aku?"

Akirah tunjuk ke dada sendiri. Akram mengangguk.

"Kalau kau tanya aku..."

Makin berdebar-debar jantung Akram menunggu respon pemilik sebelah hatinya.

"Aku percayakan kau."

Cukup tiga perkataan itu, sudah mampu menceriakan hati Akram. Dia rasa nak terbang tinggi, hingga ke langit demi melampirkan kegembiraannya.

"Terus percayakan aku dan terus yakin...bahawa akulah superhero yang akan selamatkan kau, Akirah."

"Poyo!"

Akram ketawa besar. Itulah saat yang paling dinanti-nantikannya, ketawa sepenuh hati bersama Akirah, si gadis yang sudah hilang segala perasaan suka dan dukanya.

****************

Kenapa sejak berkenalan dengan dia, aku dah pandai senyum dan menangis?

Kenapa aku boleh sewenang-wenangnya meletakkan kepercayaan pada lelaki itu?

"Akirah!!!!"

Pintu bilik dibuka kasar. Menggigil tubuh halusku melihat tali pinggang melilit kemas di tangan sasa lelaki tersebut. Nafasnya berbau. Arak lagi? Aku nak lari, tapi tubuhnya menghalang pintu. Apabila dia menapak mendekati, aku tahu pengakhiran yang bakal terjadi.

*****************

"Save him!"

"We can't! Dia tak bagi kita kejutkan dia."

"Tekanan darah dia turun mendadak! Abang nak kita bertahan lagi? Buatnya dia terperangkap dalam dunia tu, macam mana?"

Dzariff menggumam bibir. Diperhati tubuh lelaki itu yang kekal kaku. Hanya dadanya berombak kecil menandakan ada nafas berhembus di situ.

******************

"Aku minta maaf..."

"Apa salah kau pada aku?"

Akram menyentuh tangan Akirah yang berbalut simen. Hatinya terluka. Penjelasan doktor tadi meruntun hatinya. Dia terselamat tapi sesuatu milik Akirah tetap tidak dapat dikembalikan. Hinanya menjadi seorang pakcik, yang tak mampu menjadi pelindung kepada darah daging sendiri. Malah, tegar pula merosakkan.

"Aku nak jadi saintis, Akirah. Aku nak selamatkan kau."

Air matanya mencurah-curah mengalir.

"Aamiin." Balas Akirah sambil membiarkan pipinya dibasahi air jernih.

"Aku nak cipta mesin masa. Aku nak kembali ke masa ni. Aku nak kembali sebelum pakcik kau sakitkan kau."

"Masa yang berlalu takkan kembali. Aku reda dengan ketentuan aku, Akram. Kau...."

Sakitnya, Allah saja yang tahu. Terkebil-kebil mata Akirah ketika menarik nafas.

"Jaga diri bebaik. Terima kasih menceriakan hidup aku, walaupun sekejap. Aku...hargai persahabatan kita...."

"Kau cakap apa ni? Kau nak pergi mana? In future, we are husband and wife!"

"Future? There's no future between us, Akram. There's only you...only you..."

"Akirah....."

Dia gagal. Gagal lagi. Berulangkali kembali ke zaman silam, dia tetap gagal menyelamatkan insan kesayangannya. Akram menangis, di tepi jasad Akirah yang kaku.

Dzariff yang melihat nadi Akram turun naik di skrin monitor, menanggalkan kaca matanya. Isteri yang dikasihi, Andriana memeluknya erat. Tangisan Akram dalam lenanya menandakan sahabat baik mereka itu gagal mencapai misinya sekali lagi.

"Abang akan kejutkan Akram."

"Kita manusia, abang. Ilmu kita terbatas. Kita takkan mampu mengubah masa silam walaupun kita diberi peluang untuk kembali."

"Segala yang tercatat ini adalah takdirNYA. Terima dengan reda...."


THE END

Saya pun tak tahu kenapa saya tulis ni...
Ceritanya merapu, I know...
Deep inside me,

Andai masa boleh diundurkan...
Mesti macam-macam benda yang boleh saya selamatkan saya nak buat....

Tapi saya tahu...
semua benda yang terjadi takkan mampu diubah semula...
Kata-kata yang keluar, takkan mampu dipadam semula...
Tingkah laku yang ditonjolkan, takkan mampu ditutup semula...

Langkah setiap insan pasti ada yang memerhati...
Pasti ada yang menilai mengikut penilaian mereka...
Teruskanlah berjalan...
Anda adalah diri anda....
Don't change to make people loves you...
Just...be yourself...

xoxo

Mirei May

10 comments:

Azra said...

Menanti-nanti nukilan terbaru Mirei May lalu aku dihidangkan dengan cerita sedih. You better be happy, beb. Aku nak cerita heppi heppi plzzzz!!!! Sori emo. Still a good story dan nasihat di bawah, itu, itu, itu..aku suka. Thank youu

Hannah Safiyah said...

Dear May, ceritanya sampai itu yg penting. Moga ketemu novel kedua.

Hannah Safiyah said...

Dear May, ceritanya sampai itu yg penting. Moga ketemu novel kedua.

Mirei May said...

Azra : Tengkiuu sudi tunggu cerita saya. Memang sengaja tulis yang sedih dulu. Teeheheee...In Shaa Allah, ada cerita happy saya share ya. Tengkiu dear ^^,

Mirei May said...

Hannah dearie : Terima kasih, Hannah sudi jenguk cerita saya di sini. Aamiin...aamiin...moga dapat ketemu juga novel itu, juga novel Hannah. Saya suka kisah Zane. Teruskan usaha ya ^^,

Kak mas Ilyas said...

Catatan biasa2 akan jadi luar biasa bila kita telusuri pesan yg ingin diutarakan.jgn berhenti berkarya ye.akk sentiasa sokong may.

Kak mas Ilyas said...

Cerita biasa2 akan jd luar biasa... fahami mesej yg ingin disampaikan...tq may.teruskan berkarya.

Mirei May said...

Kak Ma dearie : Terima kasih Kak Ma kerana tak berhenti menyokong May sejak dulu hingga kini...gembira bila cerita biasa-biasa ini dapat difahami ^^, In Shaa Allah, May akan terus berkarya...terharu, sekian lama tak menulis di sini, dapat banyak komen membina daripada pembaca...terima kasih Kak ^^,

sweetstalker said...

Alhamdulillah...akhirnya blh bc lg ka
rya Mirei may ...tq2 update...Sgt teruja nk peluk ketat2 karya Batu mirei may....

Mirei May said...

Hai sweetstalker...terima kasih dear sudi jenguk lagi blog saya...maaf, hari tu saya private sekejap...ada siri baru saya tulis, kalau rindu jemputlah baca dulu ya...tajuknya Sayang 😊😊😊