Assalammualaikum...
Novel Lihat Aku Di Matamu, akan dihentikan dulu penulisannya buat sementara waktu sebab sekarang ni tengah training...don't worry, akan disambung juga...cuma bukan dalam masa terdekat ni la...Hari ni, nak kongsi cerpen yang dah dibuat...tengah plan nak hantar ke tak dekat Penulisan2U..hmmm...pikir dulu, pikir dulu.. hikhik~ Silalah tengok preview ini ya..kalau dapat bagi komen, bagus juga bah! ^_^V
Tajuk Cerpen: Jangan Pernah Lukai
Aku Lagi!
Karya: Mirei May
“Aku terima nikah, Najla Arissa binti Badlisham dengan
mas kahwinnya satu dinar tunai!”
“Sah?” Tanya Tok
Kadi, Tuan Haji Firdaus kepada saksi-saksinya. 2 orang saksi yang duduk
berhampiran dengan pengantin lelaki menganggukkan kepala masing-masing.
“Sah.” Jawab saksi yang pertama.
“Sah.” Kata saksi
yang kedua pula.
“Alhamdulillah...”
Bacaan doa mengiringi upacara akad nikah yang telah selamat
berlangsung sebentar tadi. Pengantin lelaki, Elman Putra Dato’ Seri Tajul
Ariffin terketar-ketar sewaktu mengaminkan bacaan doa Tuan Imam, Ustaz Ramzan. Mukanya kelihatan tegang.
Sambil mengaminkan bacaan doa, matanya melirik tajam ke
arah isteri yang baru dinikahinya. Hati Elman berasa panas. Kalau tidak
memikirkan dia kini sedang berada di hadapan Ustaz Ramzan dan Tuan Haji
Firdaus, mahu saja dia menerpa ke arah Najla. Ingin dicekik-cekik leher gadis
itu sepuas-puasnya. Gadis ke? Elman mencebik. Sinis. Perut Najla yang masih
kempis itu dipandang lama.
“Anak Elman. Tahniah ya, dah jadi suami Najla. Saya doakan
agar rumahtangga yang dibina ini akan berkekalan sampai ke syurga. Jaga amanah
yang telah Allah berikan kepada anak Elman ini dengan baik. Kalau isteri ada
buat salah, tegur dengan baik. Jangan gunakan kekerasan. Muafakatlah suami
isteri. Andai ada yang tak betul, bincang baik-baik.”
Nasihat Ustaz Ramzan sebelum pulang tadi kembali terlayar
di kotak fikiran Elman Putra. Elman
ramas kepala yang terasa berat. Dia masih berteleku di dalam bilik Najla.
Isterinya itu, sejak usai majlis akad nikah, tidak langsung menampakkan batang
hidungnya. Entah menyorok di mana, Elman malas nak ambil tahu. Yang nyatanya
sekarang ni, dia rasa terjerat dengan perkahwinan yang diatur oleh papa Najla
dengan daddynya.
Ingatan Elman melayang kepada peristiwa sebulan yang
lalu.
“Anak kau dah buntingkan anak aku!”
Jerit Tan Sri Badlisham kepada Dato’ Seri Tajul Ariffin
dan Elman. Gegak-gempita ruang tamu di rumah Elman dengan suara amarah Tan Sri
Badlisham. Elman kecut perut. Tidak disangka, perbuatan jahatnya kepada Najla
pada malam pesta hari jadi sahabat baik Najla, Aulia, mencambahkan benih di
dalam rahim Najla.
Elman rasakan dunianya kelam waktu itu. Kemarahan Tan Sri
Badlisham berada di kemuncak. Tak pasal-pasal kepala Elman dibaling telefon
bimbit lelaki korporat tersebut. Benjol kepalanya dek tak sempat menahan
Samsung Galaxy Note 2 itu dari singgah ke kepala. Elman terduduk sambil pegang
kepala. Dato’ Seri Tajul Ariffin nyata terkejut melihat benjol di kepala
anaknya.
“Sabar dulu, Bad. Kita boleh bincang perkara ni
baik-baik.”
“Nak bincang apa lagi? Anak aku dah mengandung! Kau
lainlah, anak kau jantan. Anak aku ni perempuan. Dahlah dia satu-satunya anak
yang aku ada. Sebab anak kau yang tak guna ni, masa depan anak aku hancur.
Hancur!” Berombak dada Tan Sri Badlisham melepaskan kemarahan.
Elman duduk menikus di atas sofa. Diam tak berkutik.
Sedar dirinya telah melakukan kesalahan besar. Merosakkan anak gadis orang tapi
dia bukan saja-saja mahu menghancurkan masa depan Najla. Silap dia kerana tidak
mampu mengawal diri. Niat dia pada mulanya hanya mahu bersemuka dengan Najla.
Dari mulut Aulia, dia dapat tahu orang yang selama ini
memukul canang keburukannya kepada bekas kawan-kawan sekuliah mereka semasa
belajar di Tokyo dulu adalah Najla sendiri. Patutlah kawan-kawannya, Joe, Kirya
dan Fizo mula menjauhkan diri sekembalinya mereka ke Malaysia. Semuanya sebab
Najla! Kerana inginkan kepastian, dia tekad mencari Najla. Manalah dia tahu
waktu itu Najla sedang menukar pakaian di dalam bilik tetamu Aulia. Kalau dia
tahu, dia takkan terjah masuk bilik itu. Dia akan tunggu di luar sampai Najla
siap berpakaian.
“Aku tahu, Najla anak yang baik. Dari dulu lagi, dia
memang anak yang baik. Dia takkan buat perkara-perkara terkutuk tu. She adore you so much, Bad. Sedaya-upaya
dia akan jaga air muka kau sebab dia tak mahu maruah kau tercalar. Kau orang business, aku pun orang business. Kalau kita tak tangani perkara
ini dengan cepat, reputasi kita akan tercemar. Dalam hal ni, aku yakin, yang
silap tu anak aku. Kau jangan risau. Kami akan bertanggungjawab.” Perlahan
suara Dato’Seri Tajul Ariffin menuturkan kata-kata.
“Apa cadangan kau?” Tanya Tan Sri Badlisham perlahan.
Mungkin sudah termakan pujuk dengan kata-kata lembut
Dato’ Seri Tajul Ariffin tadi. Ketenangan sahabat baiknya itu menjadikan dia
malu. Kalau Dato’ Seri Tajul Ariffin boleh bercakap lembut dengannya, kenapa
dia perlu meninggi suara?
Dan perancangan kedua-dua lelaki korporat itulah yang
telah menjadikan dia suami kepada Najla Arissa sekarang ini. Hati Elman
memberontak. Dia tidak mendambakan perkahwinan ini! Dia terseksa, batinnya
merana. Kenapa daddy sanggup memaksa dia bernikah dengan perempuan yang telah
memporak-perandakan hidupnya suatu masa dahulu hingga membuatkan dia
hampir-hampir gagal peperiksaan akhir?
Ketukan perlahan di pintu sebelum daun pintu yang
terselak tiba-tiba merencatkan lamunan Elman. Pandangan segera dialih ke pintu.
Terpacul wajah mendung Najla yang lunak memandang ke arahnya. Bau minyak angin
menusuk kuat ke hidung Elman. Elman pantas berdiri. Tangan isterinya ditarik
kuat sebelum menutup daun pintu. Nafas Najla turun naik. Jelas ketakutan di
sinar matanya kala itu.
“Suka...aku dah kahwin dengan kau?” Sinis soalan Elman.
Dia melangkah perlahan-lahan, merapati Najla yang sudah tergigil ketakutan di
tepi katil.
“Cakaplah!! Suka ke aku dah jadi suami kau?”
Elman tidak segan silu nak menjerit di rumah keluarga
mertuanya ini kerana dia tahu bilik Najla ini kedap bunyi. Orang luar takkan
boleh mendengar perbualan mereka. So Tan
Sri Badlisham’s style. Nakkan privasi sampai semua bilik dibuat kedap
bunyi!
Najla memandang sayu ke arah suaminya. Dendam sang suami
kepadanya terlalu menggunung. Tapi...tegarkah dia menanggung kesengsaraan ini
kalau dia sendiri tidak tahu apa punca dirinya diperlakukan sebegitu oleh Elman
Putra? Najla mahukan kepastian daripada Elman. Perlahan-lahan anak matanya
diangkat dan merenung kemas ke dalam anak mata coklat gelap milik suaminya.
“Najla minta maaf....Najla tak tahu apa salah Najla pada
abang.”
Elman berdecit. Rasa geli hati mendengar ayat yang keluar
dari mulut Najla. Tubuh kecil-molek isterinya ditolak kasar ke atas katil.
Terjerit Najla melihat tingkah lakunya yang sudah bertukar ganas. Belakang bahu
isterinya ditekan kasar ke tilam. Meraung Najla tatkala tangan kasar suaminya
menekan belakang bahunya. Sedaya-upaya dia cuba memboloskan diri namun tidak
berhasil.
“Bang, jangan tekan belakang Najla bang. Najla
sakit....tolonglah bang. Najla sakit!” Rintihnya dalam tangis.
“Hei, kau jangan nak pura-pura sakit ek. Aku tekan
belakang kau, bukannya perut kau. Pandang aku...pandang aku!!”
Tubuh Najla dialihkan supaya mengadapnya. Tangan sudah
melekap kemas mencengkam bahu isterinya. Terperanjat Elman melihat muka putih
bersih Najla sudah basah dengan air mata dengan bibir yang sudah terketar-ketar.
Nampak dia dalam kesakitan yang teramat. Pelik Elman melihatnya.
“Najla sakit bang....” Rintih Najla lagi, perlahan.
Elman semakin pelik. Seketika, pandangan Elman tertancap
pada kesan lebam di bahu Najla. Teruk sekali kesan lebam itu. Elman mula rasa
tak sedap hati. Pegangan tangan di bahu isterinya diungkai sebelum tangan Elman
menyelak T-Shirt labuh yang dipakai Najla.
Najla pejam mata. Bahunya tersenggut-senggut menahan
tangis. Dia tak mahu Elman nampak lebam di belakang badannya ini. Kalau boleh
dia mahu sorokkan kesakitan yang dia alami ini tanpa pengetahuan suaminya.
Biarlah dia yang menanggung derita ini seorang diri.
Elman seakan tidak puas melihat lebam di bahu isterinya. Dia
tahu kesan lebam itu panjang. Lalu dia menapak sebelum duduk di belakang Najla.
Dengan rasa ingin tahu, T-Shirt yang dipakai isterinya disingkap hingga ke
atas. Buat apa nak rasa malu? Najla isterinya. Dan dia berhak sepenuhnya ke
atas Najla kini.
Sebaik sahaja belakang tubuh isterinya terdedah, Elman
terus pekup mulut. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Belakang badan
Najla penuh dengan kesan tali pinggang. Merah-merah. Ada yang membengkak tidak
kurang juga ada antara kesan itu sudah bertukar kehitaman.
Tan Sri Badlisham? Automatik wajah bapa mertuanya singgah
di fikiran Elman. Dia tidak menyangka lelaki itu sanggup melibas Najla dengan
tali pinggang. Teruk lebam yang dialami Najla. Kalaulah dia di tempat
isterinya, pasti dia tak tertanggung kesakitan itu. Tergamak seorang ayah yang
berpengaruh dalam masyarakat memukul anaknya sebegini rupa. Ini dah dianggap
kes dera!
“Maafkan Najla bang.....maafkan Najla....maafkan
Najla....”
Entah berapa kali isterinya itu meminta maaf. Dia yakin,
ayat itulah yang diucap Najla juga sewaktu dilibas Tan Sri Badlisham. Elman
pejam mata. Tangannya kembali menurunkan T-Shirt Najla, menutupi belakang badan
isterinya itu. Patutlah Najla ada bau minyak angin. Dia sangkakan kerana alahan
kehamilan. Rupa-rupanya sebab...
Elman bingkas bangun dari katil. Tegak saja dia memandang
Najla yang sudah berhenti menangis. Padam terus amarahnya pada Najla diganti
rasa simpati yang menggunung.
“Tidurlah...esok kita balik rumah daddy.”
Usai berkata-kata, Elman terus mengambil bantal dan comforter lalu dibawa menuju ke sofa
yang terletak di hujung katil Najla. Dia segera berbaring membelakangkan Najla.
Dadanya bergetar hebat. Takut, sakit hati, benci, simpati semuanya
bercampur-aduk. Dia tidak pasti dengan perasaannya kini.
“Abang...”
Panggilan lembut Najla terasa dekat di cuping telinganya.
Elman pantas berpaling.
“Nak salam....”
Elman angkat kening sebelah. Pelik dengan permintaan si
isteri namun tangannya tetap juga dihulurkan kepada Najla. Najla mencium tangan
suaminya penuh kasih. Satu senyuman dihadiahkan kepada Elman sebaik sahaja mata
mereka bertaut. Keprihatinan Elman menyuntik semangat baru di dalam
sanubarinya.
Dia yakin Elman akan menjaga dia dengan baik selepas ini
walaupun lelaki itulah yang bertanggungjawab membuatkan hidup dia merana hingga
ke saat ini. Demi anak yang dikandungnya ini, dia akan cuba juga mencari
kebahagiaan dalam perkahwinan yang bukan atas kerelaan suaminya itu.
“Abang tak mahu tidur atas tilam?” Tanyanya lembut.
Kasihan melihat Elman tidur di atas sofa. Isteri yang
baik tidak akan membiarkan suaminya tidur di atas tempat yang tidak selesa.
Tapi mampukah Najla menjadi isteri yang baik kalau sebelum berkahwin lagi dia
sudah mengandung?
“You need the
space, not me. Lagipun...belakang kau tu sakit. Mesti kau nak tidur dalam
keadaan selesa, betul tak?”
Najla pandang tilamnya yang bersaiz king itu. Muat saja
kalau Elman nak tidur sama tapi dia tahu suaminya itu tidak bersedia untuk
duduk rapat-rapat dengannya. Tak mengapalah. Najla akan terus bersabar. Semoga
satu hari nanti, hati Elman akan terbuka untuk menerimanya sebagai isteri.
Najla tunduk. Dahi suaminya dikucup penuh kasih. Terkejut
Elman dengan aksi spontannya tadi. Dia pun terkejut sebenarnya. Sebab terharu
dengan ayat Elman, terus dia lupa yang suaminya ini masih membenci dirinya. Penerimaan
Elman ke atas dirinya tadi hanyalah kerana simpati semata-mata setelah melihat
kesan lebam di belakang badannya, bukan kerana kasihkan dia.
Najla tahu tu. Kalau tidak, masakan muka Elman bengis
macam singa sewaktu dia masuk ke dalam bilik tadi. Dia tahu, Elman masih belum
dapat menerima dirinya. Lembut Elman bersebab. Lepas ini, entah apalah nasib
rumahtangga mereka. Najla ketap bibir.
“Selamat malam bang.” Ucap Najla akhirnya.
Tanpa bertangguh, Elman terus berpusing membelakangkan
Najla. Comforter ditarik separas
pinggang. Dalam kepayahan dia cuba juga melelapkan mata.....
p/s: Cerpen ini telah diubahsuai dan dimuatkan di dalam novel Encik Abang Kuda...jika berminat untuk mengetahui kesudahannya, klik link di tajuk novel untuk urusan pembelian...let's support this writer, guys! Thank you ^^,